Titah Tunku Mahkota hasil Johor perlu dipulangkan wajib dijunjung - Onn Hafiz

LocalPolitics
7 May 2026 • 11:17 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Titah Tunku Mahkota hasil Johor perlu dipulangkan wajib dijunjung - Onn Hafiz
Onn Hafiz ketika sesi penggulungan sidang DUN Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar pada Khamis.

ISKANDAR PUTERI – Titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail supaya hasil cukai negeri sekurang-kurangnya 25 peratus dipulangkan kepada Johor wajar dijunjung semua pihak.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, beliau yakin hasrat itu mampu direalisasikan dengan kerjasama semua pihak di peringkat Persekutuan dan negeri.

"Saya yakin dengan adanya Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perling dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, impian ini akan dapat dicapai," katanya.

Onn Hafiz (BN- Machap) berkata demikian ketika ucapan penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar pada Khamis.

Menurut Onn Hafiz, kerajaan negeri bersedia menggalas tanggungjawab bagi memastikan projek-projek pembangunan yang diumumkan dapat disegerakan demi kepentingan rakyat.

“Walaupun pengumuman projek pembangunan itu sudah dibuat setahun dua, namun peruntukannya masih belum turun.

“Sebagai contoh pengumuman mengenai projek Sistem Aliran Transit Automasi (ART) bagi menangani kesesakan trafik selepas istem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura siap pada 2027,” katanya ketika sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

Beliau berkata, isu berkenaan turut menimbulkan kebimbangan termasuk melibatkan aspek penyuraian trafik terutama di kawasan bandar dan pintu masuk negara.

Menurutnya, walaupun kerajaan negeri mempunyai perancangan jangka pendek bagi melancarkan aliran trafik, rakyat masih menantikan pelaksanaan ART yang diyakini mampu mengurangkan kesesakan.

Selain itu, Onn Hafiz membangkitkan Dua projek lain yang perlu diberikan perhatian iaitu Hospital Pengajar di Kota Tinggi serta projek Hospital Sultanah Aminah 2 (HSA 2) yang sudah diumum tetap masih belum dilaksanakan.

Pada Khamis lalu, ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Kelima Persidangan DUN Johor ke-15, Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail bertitah agar 25 peratus hasil cukai pendapatan Johor dipulangkan semula kepada negeri ini.

Baginda mengulangi gesaan pemulangan hasil cukai berkenaan agar Johor tidak terlalu bergantung Kerajaan Persekutuan bagi memastikan pembangunan dan kebajikan rakyat.