'Sudah tiba masanya sebahagian hasil cukai Johor dipulangkan semula' - Pemangku Sultan Johor

LocalPolitics
30 Apr 2026 • 11:18 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Sudah tiba masanya sebahagian hasil cukai Johor dipulangkan semula' - Pemangku Sultan Johor
Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail

ISKANDAR PUTERI - Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail bertitah agar 25 peratus hasil cukai pendapatan Johor dipulangkan semula kepada negeri ini.

Baginda mengulangi gesaan pemulangan hasil cukai berkenaan agar Johor tidak terlalu bergantung Kerajaan Persekutuan bagi memastikan pembangunan dan kebajikan rakyat.

"Johor merupakan antara penyumbang utama kepada hasil negara. Namun, pulangan yang diterima masih tidak setimpal dengan keperluan pembangunan dan kebajikan rakyat.

"Justeru, saya ingin menggesa kepada kerajaan Persekutuan bahawa sudah tiba masanya sebahagian hasil cukai yang dijana oleh Johor sekurang-kurangnya 25 peratus dipulangkan semula kepada negeri ini.

"Ini penting agar Johor dapat mengurus keperluan rakyat dengan lebih cekap tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada proses kelulusan yang begitu panjang," titah baginda.

Baginda bertitah ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Kelima Persidangan DUN Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail di sini pada Khamis.

Tunku Ismail bertitah mengharapkan Johor perlu ruang untuk berdiri dengan lebih berdikari selaras dengan peranannya sebagai penyumbang besar kepada ekonomi negara.

Pada tahun lalu, Pemangku Sultan Johor pernah membangkitkan isu sama apabila baginda dilaporkan meminta Kerajaan Persekutuan mempertimbang untuk memberi balik 20 hingga 30 peratus hasil cukai yang dikutip dari Johor.

Baginda bertitah pada masa kini, Johor telah berjaya menarik pelaburan berjumlah RM272 bilion termasuk mencipta sejarah pada tahun 2025, apabila merekodkan 110 bilion pelaburan yang tertinggi pernah dicapai oleh mana-mana negeri di Malaysia.

"Pencapaian ini telah membuka lebih 80,000 peluang pekerjaan kepada bangsa Johor dan rakyat Malaysia.

"Saya juga dimaklumkan bahawa hasil negeri Johor terus meningkat mencecah RM2.68 bilion pada tahun 2025.

"Ia menunjukkan kekuatan asas ekonomi serta kecekapan tadbir urus kerajaan negeri dalam mengurus sumber dan hasil dengan baik," titah baginda.