Hasil Selangor cecah RM3 bilion, lepasi sasaran tahunan – MB

LocalPolitics
17 Nov 2026 • 8:49 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Hasil Selangor cecah RM3 bilion, lepasi sasaran tahunan – MB

SHAH ALAM, 17 NOV: Kutipan hasil Selangor mencecah RM3 bilion setakat semalam, sekali gus melepasi sasaran RM2.8 bilion yang ditetapkan bagi keseluruhan tahun ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pencapaian itu menunjukkan kedudukan kewangan negeri terus mengukuh, selain mencerminkan momentum pentadbiran dalam menjayakan agenda pembangunan.

Menurutnya, Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi dan memastikan pelaksanaan projek pembangunan, khususnya infrastruktur berjalan lancar menerusi pemantauan Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg).

Image from: Hasil Selangor cecah RM3 bilion, lepasi sasaran tahunan – MB
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berucap ketika majlis Apresiasi Media 2026 di Pusat Perdagangan Antarabangsa Selangor (SITC), Shah Alam pada 17 November 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“Alhamdulillah, tahun ini peratusan kitar melebihi kadar nasional menerusi projek-projek yang kita laksanakan dan ada sedikit ruang yang perlu diperbaiki. Kita akan sentiasa kemas kini.

“Kita akan terus berusaha bekerja termasuk isu sosial kerana MTPNg memantau keseluruhan projek nasional bernilai tinggi, berbilion,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Apresiasi Media bersama Dato’ Menteri Besar, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin berkata Kerajaan Negeri turut memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan kadar kemiskinan bagi memastikan rakyat dapat menikmati kehidupan lebih berkualiti dan bermaruah.

Katanya, pendekatan baharu akan diselaraskan bersama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) mulai Jun tahun depan, dengan memberi perhatian kepada golongan miskin tegar dan miskin relatif.

“Kita mahu masyarakat hidup dengan wajar dan bermaruah. Insya-Allah bulan enam (tahun depan) kita akan lakukan dan akan selaraskan dengan ICU JPM.

“Kita fokus dengan konteks miskin tegar, miskin relatif, dengan meletakkan kerangka baharu supaya bantuan, sokongan diberi mengeluarkan mereka daripada realiti kemiskinan,” katanya.

Ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2027 pada Jumaat lalu, Amirudin memaklumkan kutipan hasil negeri berjumlah RM2.956 bilion setakat 11 November, merangkumi hasil bukan cukai sebanyak RM1.91 bilion, hasil cukai RM767.30 juta dan terimaan bukan hasil RM277.34 juta.

Kedudukan kewangan negeri turut menunjukkan peningkatan apabila rizab Kumpulan Wang Disatukan naik kepada RM5.12 bilion setakat 11 November, berbanding RM4.74 bilion pada 31 Disember 2025.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved