amree19/08/2026 - 14:55 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 19 Ogos — Solarvest Holdings Berhad mencatatkan peningkatan hasil kepada RM155.94 juta pada suku pertama berakhir 30 Jun 2026 didorong terutama projek solar berskala besar (LSS).
Pertumbuhan 13.2% ini turut dipacu oleh kemajuan projek LSS5 serta pelaksanaan berterusan Program Tenaga Hijau Korporat yang mengukuhkan kedudukan kumpulan berkenaan dalam pasaran tenaga bersih.
Syarikat itu namun berdepan cabaran penurunan perolehan kerana projek LSS5 masih berada pada fasa awal pelaksanaan, dengan kelembapan segmen perniagaan komersial dan industri turut memberi kesan.
"Bagaimanapun Solarvest tetap berjaya meraih keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM18.41 juta bagi tempoh suku tinjauan tersebut," menurut makluman kumpulan tersebut kepada Bursa Malaysia.
Prestasi ini mencerminkan peningkatan 13.3% berbanding yang direkodkan pada tempoh yang sama tahun kewangan lalu, manakala keuntungan sebelum cukai (PBT) pula bertambah 13.8% kepada RM25.11 juta.
Sebahagian besarnya disumbangkan oleh keuntungan daripada syarikat sekutu, dan kestabilan operasi ini membolehkannya mengekalkan margin sihat walaupun dalam persekitaran ekonomi yang kompetitif.

Solarvest memegang nilai tempahan terkumpul sangat kukuh berjumlah RM2.37 bilion setakat akhir Jun 2026, yang akan diiktiraf secara berperingkat dalam akaun bagi tahun kewangan 2027 serta 2028.
"Pelaksanaan LSS6 bakal menjadi pemangkin utama pertumbuhan masa depan syarikat, dengan kerajaan menawarkan kuota 2500 megawatt dan integrasi sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS)," jelasnya.
Ia julung kali diperkenalkan bagi meningkatkan kestabilan grid nasional, dan kerajaan menetapkan sasaran tinggi untuk mencapai kapasiti tenaga boleh diperbaharui (RE) 70% menjelang tahun 2050.
Inisiatif nasional ini membuka ruang luas bagi Solarvest untuk terus menerajui subsektor tenaga solar dalam tempoh jangka panjang yang selari dengan matlamat agenda peralihan tenaga negara.
Menerusi program Powervest, syarikat mengunci kapasiti kumulatif 135 megawatt daripada pelbagai perjanjian pembelian tenaga korporatm, yang bakal menjana hasil berulang tahunan RM54.4 juta.
"Dari sudut perkembangan korporat syarikat meningkatkan ekuiti dalam Hartanah Kenyalang Berhad kepada 13.9%, yang dijangka memberi nilai tambah serta kepelbagaian pelaburan Solarvest," katanya.
Lembaga Pengarah menzahirkan keyakinan prestasi keseluruhan kumpulan akan kekal memuaskan bagi sepanjang tahun kewangan ini. Syarikat kini menumpukan usaha untuk merebut peluang daripada inisiatif tertentu demi memastikan kemampanan perniagaan serta pulangan maksimum kepada pemegang saham. - DagangNews.com






