amree19/08/2026 - 11:15 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 19 Ogos — MGB Berhad masih menunjukkan daya tahan walaupun hasil merosot pada suku kedua tahun kewangan 2026, dengan keuntungan disokong margin lebih baik susulan pengoptimuman kos.
Penganalisis namun melihat cabaran kelembapan hasil pembangunan hartanah apabila beberapa projek menghampiri fasa siap, selain risiko pasaran hartanah yang boleh menjejaskan momentum pertumbuhan.
Dua firma penyelidikan itu kekal positif terhadap prospek kumpulan dengan melihat buku tempahan pembinaan yang kukuh, projek Rumah Selangorku serta pengembangan perniagaan di Arab Saudi.
PublicInvest berkata keuntungan bersih MGB meningkat 12.1% tahun ke tahun (YoY) kepada RM13.3 juta** pada 2QFY26 walaupun hasil susut, disokong margin lebih tinggi berikutan pengoptimuman kos.
"Keputusan kewangan itu masih dalam jangkaan kami meskipun hasil 2QFY26 turun 6.8% YoY, terutama disebabkan hasil pembangunan hartanah merosot 15.6% kepada RM82.6 juta," jelasnya dalam nota.
Ia susulan beberapa projek menghampiri fasa siap dan sebahagiannya diimbangi peningkatan kecil 0.4% dalam hasil pembinaan kepada RM119.1 juta daripada sumbangan anak syarikat luar negara.
Tambah PublicInvest, keuntungan sebelum cukai (PBT) MGB pula meningkat 20.1% YoY kepada RM20.5 juta, disokong sumbangan lebih tinggi daripada segmen pembinaan dan pembangunan hartanah.

Prospek syarikat kekal berdaya tahan berikutan dasar kerajaan menyokong sektor hartanah serta buku tempahan pembinaan sekitar RM1.68 bilion, selain jualan yang belum dibilkan sebanyak RM290 juta.
"Kami turut melihat potensi pertumbuhan daripada pengembangan di Arab Saudi apabila nilai kontrak yang diperoleh di negara itu mencecah 654.3 juta riyal (kira-kira RM708.7 juta)," jelasnya.
MGB juga terus memanfaatkan teknologi sistem binaan berindustri (IBS) konkrit pratuang dan Building Information Modelling (BIM) bagi meningkatkan kecekapan serta produktiviti.
Berdasarkan kepada perkembangan tersebut, PublicInvest mengekalkan unjuran pendapatan, saranan 'outperform' dan harga sasaran (TP) berasaskan penilaian jumlah bahagian (SOTP) sebanyak 78 sen.
Sementara itu, RHB Research mengekalkan 'beli dan TP 63 sen, memberikan potensi kenaikan sekitar 51% serta anggaran hasil dividen FY27F kira-kira 8%. Firma itu berkata keuntungan teras 1H26 sebanyak RM27 juta, meningkat 15% YoY, sejajar dengan unjurannya.
Ujarnya, PBT segmen pembinaan 2Q26 meningkat 19% YoY kepada RM10.6 juta, didorong pengoptimuman kos dan pengurangan kerugian operasi di Arab Saudi. Margin PBT segmen itu kekal pada 7.5%, manakala segmen pembangunan hartanah mencatat PBT RM10.6 juta, meningkat 16.5% YoY.
Buku tempahan pembinaan MGB kini meningkat kepada kira-kira RM1.68 bilion pada akhir 2Q26 berbanding RM1.07 bilion setahun sebelumnya. Setakat tahun kewangan berjalan, kemenangan kontrak berjumlah RM274.7 juta, manakala buku tender di Arab Saudi bernilai kira-kira 800 juta riyal (RM866.5 juta) memberikan ruang tambahan untuk pertumbuhan.
RHB Research melihat prospek MGB turut disokong pelbagai projek hartanah baharu, termasuk projek rumah mampu milik, dengan jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) melebihi RM1 bilion. Firma itu mengunjurkan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) keuntungan sebanyak 10.5% bagi FY25 hingga FY28, manakala penilaian saham dilihat menarik pada hanya 4 kali P/E FY27F.
Secara keseluruhan, kedua-dua firma mengekalkan pandangan positif terhadap MGB, dengan pemangkin utama termasuk kemajuan lebih pantas projek Kertih Terengganu Industrial Park bernilai GDV RM747 juta serta kejayaan memperoleh kontrak pembinaan di Johor Bahru. Namun, kelembapan tidak dijangka dalam pasaran hartanah kekal sebagai risiko utama yang boleh menjejaskan prestasi kumpulan. - DagangNews.com






