amree19/08/2026 - 16:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 19 Ogos — Segmen pembuatan serta pemasaran menjadi pemacu utama meningkatkan pendapatan EITA Resources Berhad kepada RM105.35 juta bagi suku ketiga berakhir 30 Jun 2026.
Pencapaian tersebut mencatatkan kenaikan hasil sebanyak 1.9% berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya susulan sumbangan aktif daripada aktiviti unit perniagaan yang lebih rancak.
Kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia turut merekodkan lonjakan kira-kira 787.5% keuntungan sebelum cukai (PBT) kepada sebanyak RM8.55 juta bagi tempoh tiga bulan tersebut.
"Segmen pembuatan menjadi penyumbang terbesar dengan hasil RM51.57 juta yang dipacu oleh jualan tinggi bagi perniagaan lif serta sistem 'busduct' dan juga 'ballast'," jelas EITA Resources.
Perniagaan pemasaran dan pengedaran pula mencatatkan perolehan sebanyak RM26.80 juta berikutan permintaan yang lebih kukuh bagi peralatan elektrik dan perniagaan kawalan dalam pasaran tempatan.
Bagaimanapun ujarnya, segmen sistem voltan tinggi masih berdepan cabaran penurunan pendapatan sebanyak 57.5% ekoran kelewatan pelaksanaan beberapa projek pencawang transmisi di Malaysia.

EITA Resources kini memberi perhatian serius terhadap isu inflasi serta kenaikan kos logistik dan bahan mentah yang berpunca daripada ketidaktentuan pasaran global serta konflik di Timur Tengah.
"Gangguan rantaian bekalan dunia turut menjadi faktor yang dipantau rapi oleh pihak pengurusan bagi mengurangkan sebarang impak negatif terhadap margin keuntungan syarikat," katanya lagi.
Prospek masa hadapan syarikat dilihat kekal positif melalui kejayaan pemerolehan projek 'busduct' berskala besar bagi pusat data (DC) dan projek lif baharu yang sedang berkembang cukup pesat.
Selain itu tambah EITA Resources, pihak pengurusan syarikat telah membayar dividen interim pertama sebanyak 1.0 sen sesaham pada 8 Julai 2026 sebagai tanda penghargaan kepada para pemegang saham,.
Lembaga Pengarah turut tetap optimis terhadap prestasi kewangan bagi baki tahun kewangan 2026 (FY26) dengan bersandarkan kepada buku tempahan sedia ada yang masih lagi mencukupi dan stabil.
"Syarikat akan terus memperkukuh kecekapan operasi bagi menempuh segala rintangan ekonomi global demi memastikan pertumbuhan mampan untuk jangka masa panjang," katanya. - DagangNews.com






