amree10/09/2026 - 14:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 10 Sept — HE Group Berhad memperoleh tempahan pembelian (PO) bernilai RM25 juta bagi kerja sistem pengagihan tenaga untuk sebuah pengeluar produk memori yang termaju di Malaysia.
Anak syarikatnya, Hexatech Engineering Sdn Bhd menerima tender itu pada 10 September 2026 untuk pengeluar yang terlibat dalam aktiviti pemasangan, pengujian dan pembungkusan produk NAND flash.
Menurut makluman kumpulan itu kepada Bursa Malaysia, nilai keseluruhan kontrak berkenaan adalah tertakluk kepada sebarang variasi, tambahan atau pengurangan kerja mengikut terma PO ditetapkan.
"Projek tersebut bermula pada tarikh penerimaan tempahan dan dijadualkan siap dalam 20 minggu, sekali gus dijangka menyumbang kepada hasil kumpulan dalam tempoh pelaksanaan," kata HE Group.
Selain itu ujar kumpulan berkenaan, kontrak tersebut dijangka dapat memberi kesan positif kepada pertumbuhan pendapatan syarikat masa depan sekiranya tiada keadaan luar jangka yang berlaku.
Dari sudut operasi tambahnya, kumpulan itu tidak menjangkakan berlaku sebarang risiko besar selain risiko operasi yang biasa dan berupaya dikawal sepanjang tempoh pelaksanaan projek berkenaan.

Kontrak itu juga jelas HE Group, tiada kesan terhadap modal saham serta pegangan saham, manakala tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan mempunyai kepentingan dalam PO tersebut.
"Penerimaan tempahan baharu berkenaan juga adalah selaras dengan kegiatan biasa perniagaan dibuat kumpulan ini dan tidak memerlukan apa-apa kelulusan daripada pemegang saham syarikat," katanya.
Kumpulan itu terlibat dalam kejuruteraan dan kontraktor elektrik, dengan projek sistem pengagihan tenaga menjadi antara komponen penting menyokong keperluan kemudahan industri berteknologi tinggi.
Tambah HE Group, perolehan kontrak untuk menyokong pengeluar NAND flash memperlihatkan peluang perkembangan industri semikonduktor, khususnya keperluan infrastruktur bekalan elektrik stabil.
Lembaga pengarah berpandangan penerimaan PO itu adalah demi kepentingan terbaik serta terus memantau pelaksanaan projek bagi memastikan ia disiapkan mengikut tempoh dan terma. - DagangNews.com





