'Hening Rindu' Marsha Milan Juara AJL39

17 Feb 2025 • 12:11 AM MYT
Gempak
Gempak

Portal Hiburan No.1 Malaysia!

image is not available

Tuah milik Marsha Milan apabila lagu Hening Rindu ciptaan Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh mengungguli Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) yang disiarkan secara langsung dari Axiata Arena Bukit Jalil, malam tadi.

Kemenangan itu membolehkan Marsha membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 berserta trofi.

Naib juara AJL39 menjadi milik lagu Bukan Lagi Kita nyanyian Nadeera yang dicipta oleh Hael Husaini dan Iqie Hugh, sekali gus melayakkannya membawa pulang wang tunai berjumlah RM50,000 berserta trofi.

Lagu yang memenangi tempat ketiga pula menjadi milik Akim & The Majistret dengan lagu hasil ciptaannya Saksama dengan penulis lirik Bunga Cantik yang membawa pulang wang tunai berjumlah RM30,000 beserta trofi. 



Aura yang dinyanyikan oleh Ernie Zakri pula diumumkan sebagai pemenang Vokal Terbaik dan membawa pulang hadiah wang tunai RM12,000 berserta trofi.

Manakala Persembahan Terbaik dimenangi oleh Aina Abdul yang mempertandingkan lagu Puas Sudah telah membawa pulang hadiah wang tunai RM12,000 dan trofi.



Bukan itu sahaja, Aina Abdul juga menerima Anugerah Pilihan Unifi Mobile. 



Kemuncak AJL39 tahun ini menyaksikan Edry Abdul Halim selaku ketua juri serta juri-juri Edry Hashim, M Samad, Datuk Izham Omar, LY, Fauziah Latiff, Datuk Fauziah Nawi, Siti Hajar, dan Datuk Hattan. 



Persembahan pembukaan dimeriahkan dengan persembahan oleh Wani Kayrie, Shiha Zikir, Ara Johari dan Noki.



Untuk persembahan penutup pula diserikan dengan persembahan Datuk M Nasir, kumpulan U.Ks dan Sham Visa.