liza01/10/2026 - 12:13 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 1 Okt – Pemulihan permintaan semikonduktor dan peningkatan tempahan pelanggan terus membuka ruang pertumbuhan kepada UWC Berhad apabila buku tempahan kumpulan itu mencecah RM350 juta pada akhir tahun kewangan 2026 (FY26), menurut Phillip Capital.
Firma penyelidikan itu berkata peningkatan tempahan itu menunjukkan aliran pesanan UWC semakin rancak, dengan nilai buku tempahan meningkat 30% berbanding RM270 juta pada suku ketiga FY26 dan berkembang untuk enam suku berturut-turut.
“Sebahagian besar tempahan baharu itu datang daripada sektor semikonduktor yang menyumbang 92% daripada keseluruhan buku tempahan manakala tempahan komponen perubatan dan peralatan sains hayat menyumbang 6% dan perniagaan lain sebanyak 2%,” kata Phillip Capital dalam nota kajiannya.
Perkembangan itu berlaku ketika permintaan semikonduktor mula pulih yang membantu UWC meningkatkan sumbangan segmen berkenaan kepada 77% daripada hasil kumpulan pada FY26 berbanding 61% pada FY25.
Pemulihan tersebut turut diterjemahkan kepada prestasi kewangan lebih baik apabila hasil UWC meningkat 54% kepada RM594.9 juta pada FY26, manakala keuntungan bersih teras melonjak 117% kepada RM111.5 juta.
Hasil UWC meningkat
Dalam suku keempat FY26, hasil UWC meningkat 22.9% suku ke suku kepada rekod RM186.2 juta, didorong peningkatan sumbangan peringkat awal pembuatan cip semikonduktor (front-end) kepada 35% daripada hasil kumpulan berbanding 29% pada suku sebelumnya.
Phillip Capital berkata peningkatan bahagian itu menjadi antara faktor yang menyokong pertumbuhan hasil dan margin UWC, selain peningkatan kecekapan operasi.
Bagi keseluruhan FY26, margin EBITDA (keuntungan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan) meningkat kepada 27.3% daripada 20.5% pada FY25, mencerminkan peningkatan kecekapan operasi serta perubahan campuran hasil.
Namun, bagi suku keempat FY26 sahaja, margin EBITDA susut sedikit kepada 27.7% daripada 29.1% pada suku sebelumnya susulan peningkatan kos bahan mentah.
Semikonduktor terus jadi pemacu utama
Data Phillip Capital menunjukkan hasil segmen semikonduktor UWC melonjak 94.7% kepada RM458.5 juta pada FY26 daripada RM235.4 juta setahun sebelumnya.
Sebaliknya, hasil daripada segmen sains hayat susut 39.1% kepada RM45.9 juta, manakala hasil daripada perniagaan lain meningkat 20.1% kepada RM90.5 juta.
Firma penyelidikan itu menaikkan unjuran keuntungan sesaham (EPS) UWC bagi FY27 dan FY28 sebanyak 27%, selain memperkenalkan unjuran FY29 dengan EPS sebanyak 22.1 sen.
Phillip Capital menjangkakan keuntungan bersih teras UWC meningkat kepada RM188 juta pada FY27, RM219.1 juta pada FY28 dan RM243.2 juta pada FY29, berbanding RM111.5 juta pada FY26.
Firma itu turut melihat peluang semikonduktor berkaitan kecerdasan buatan (AI) sebagai antara faktor yang boleh menyokong peningkatan permintaan UWC, khususnya menerusi pendedahan yang lebih tinggi kepada projek pemprosesan awal. - DagangNews.com






