liza29/09/2026 - 14:19 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 29 Sept – Yinson Holdings Bhd mencatat keuntungan selepas cukai dan kepentingan pemegang saham minoriti (PATAMI) RM128 juta bagi suku kedua berakhir 31 Julai 2026 (2Q27), kekal stabil berbanding suku sebelumnya.
Bagi tempoh enam bulan berakhir 31 Julai 2026, keuntungan selepas cukai kumpulan meningkat 15% kepada RM295 juta berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, walaupun hasil kumpulan susut RM409 juta kepada RM2.185 bilion daripada RM2.594 bilion.
Penurunan hasil itu terutama disebabkan ketiadaan aktiviti kejuruteraan, perolehan, pembinaan, pemasangan dan pentauliahan (EPCIC) berdasarkan kemajuan pembinaan, namun sebahagiannya diimbangi sumbangan lebih tinggi daripada operasi kapal pengeluaran, penyimpanan dan pemindahan terapung (FPSO), termasuk FPSO Agogo yang memulakan tempoh sewanya pada 12 Ogos 2025.
Yinson berkata pada 2Q27 sahaja, hasil kumpulan meningkat kepada RM1.136 bilion berbanding RM1.049 bilion pada suku pertama tahun kewangan 2027 (1Q27), disokong kesan kenaikan kadar sewaan tahunan bagi FPSO Maria Quiteria serta jumlah hari operasi yang lebih tinggi.
“Keuntungan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) kumpulan turut meningkat 9% kepada RM665 juta pada 2Q27, manakala keuntungan selepas cukai berada pada RM147 juta berbanding RM148 juta pada 1Q27,” katanya dalam makluman tersebut.
Aliran tunai operasi meningkat
Aliran tunai bersih daripada aktiviti operasi meningkat kepada RM1.179 bilion pada 2Q27 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, mencerminkan daya tahan aliran tunai dan keterlihatan pendapatan daripada armada FPSO yang beroperasi sepenuhnya.
Yinson Production mempunyai tempahan hasil kira-kira AS$19 bilion sehingga 2050, memberikan kumpulan keterlihatan terhadap pendapatan daripada operasi FPSO untuk tempoh jangka panjang.
Selain itu, Yinson Renewables mempunyai 557 megawatt kapasiti penjanaan tenaga boleh diperbaharui berskala utiliti yang sedang beroperasi, selain saluran projek pembangunan melebihi 1.5 gigawatt.
Lac Da Vang hampir mula beroperasi
Yinson berkata kapal penyimpanan dan pemindahan terapung (FSO) PTSC Lac Da Vang berlepas dari TongZhou Bay, China pada 21 Julai 2026 sebelum tiba di medan Lac Da Vang di perairan luar pesisir Vietnam pada 7 Ogos lalu.
Kapal berkenaan kini menjalani proses pentauliahan akhir dengan lancar dan dijangka mencapai pengeluaran minyak pertama pada suku keempat 2026, sekali gus membuka laluan kepada permulaan tempoh sewaan kapal tersebut.
Perniagaan teknologi hijau terus berkembang
Dalam segmen teknologi hijau, Yinson GreenTech memperoleh dua kontrak komersial bagi kapal elektrik sepenuhnya Hydromover 1 dan Hydromover 2, selain melancarkan hab pengecasan arus ulang-alik (AC) kenderaan elektrik terbesar di Malaysia di Menara Merdeka 118.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan Yinson, Lim Han Weng berkata prestasi suku tersebut kekal stabil, manakala kemajuan FSO PTSC Lac Da Vang menunjukkan keupayaan kumpulan melaksanakan projek menjelang pengeluaran minyak pertama yang dijangka pada suku keempat 2026.
Pada 29 September 2026, Lembaga Pengarah Yinson mengisytiharkan dividen interim suku tahunan satu sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2027, berjumlah kira-kira RM29 juta, dengan tarikh kelayakan pada 4 Disember 2026 dan pembayaran pada 18 Disember 2026. - DagangNews.com






