Penggunaan kapal Perdana Petroleum cecah 54% namun keuntungan bersih pada 2QFY26 jatuh 89%

Business & Finance
19 Aug 2026 • 6:05 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Penggunaan kapal Perdana Petroleum cecah 54% namun keuntungan bersih pada 2QFY26 jatuh 89% Image from: Penggunaan kapal Perdana Petroleum cecah 54% namun keuntungan bersih pada 2QFY26 jatuh 89% amree19/08/2026 - 18:05 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 19 Ogos — Penggunaan armada kapal Perdana Petroleum Berhad naik kepada 54% pada suku kedua 2026, didorong permintaan kukuh terhadap jenis bekalan, tunda pengendalian sauh (AHTS).

 

Penyedia perkhidmatan kapal sokongan marin luar pesisir (OSV) bagi industri minyak dan gas (O&G) itu berkata penggunaan kapal pada 2Q26 meningkat daripada 52% dalam tempoh sama tahun lalu.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan tersebut berkata, perkembangan positif itu menunjukkan daya tahan operasi teras syarikat berkenaan meskipun persekitaran pasaran kekal mencabar.

 

"Bagaimanapun, hasil 2QFY26 susut kepada RM53.5 juta berbanding RM83.2 juta pada 2QFY25, terutama disebabkan sumbangan yang lebih rendah daripada segmen 'workbarge'," jelas Perdana Petroleum.

 

Keuntungan selepas cukai (PAT) pula merosot 89% kepada RM3.8 juta berbanding RM34.5 juta setahun sebelumnya, manakala pendapatan sesaham asas (EPS) turun kepada 0.17 sen daripada 1.55 sen.

 

Prestasi pada tiga bulan berkenaan kata kumpulan tersebut, turut mendapat manfaat daripada keuntungan pertukaran mata wang asing (forex) yang belum direalisasi sebanyak RM19.8 juta.

 

Perdana Petroleum_DagangNews2026

 

Bagi tempoh enam bulan pertama 2026 (1H26), penggunaan kapal dikendalikan Perdana Petroleum meningkat ketara kepada 54% daripada 41% dalam 1H25, disokong peningkatan penggunaan kapal AHTS.

 

"Namun, hasil 1H26 turun 21% kepada RM95.7 juta daripada RM120.8 juta, manakala kumpulan mencatat kerugian selepas cukai RM8.3 juta berbanding keuntungan RM16.2 juta setahun sebelumnya. Tempoh sama tahun lalu turut merangkumi keuntungan forex belum direalisasi sebanyak RM22.7 juta," katanya.

 

Pengarah Urusan Perdana Petroleum, Jamalludin Obeng berkata, keputusan 2QFY26 membuktikan daya tahan segmen AHTS yang terus mencatat penggunaan lebih tinggi, walaupun pemulihan 'workbarge' bergerak perlahan berikutan kelewatan permulaan beberapa projek dan langkah pengoptimuman kos oleh syarikat O&G utama.

 

Menurut beliau, kumpulan kekal yakin terhadap permintaan AHTS yang berdaya tahan dan berada pada kedudukan baik untuk merebut peluang apabila aktiviti luar pesisir terus pulih.

 

Di Malaysia, beliau berkata pasaran OSV terus disokong aktiviti huluan PETRONAS, khususnya program mengekalkan pengeluaran serta kempen penyelenggaraan luar pesisir. Permintaan terhadap OSV, terutama AHTS, dijangka kekal kukuh didorong aktiviti penggerudian dan pengeluaran luar pesisir yang berterusan.

 

Perdana Petroleum turut melihat bekalan OSV baharu yang agak terhad di pasaran serantau sebagai faktor yang berpotensi menyokong kadar penggunaan kapal dan kadar sewaan dalam tempoh sederhana. Namun, kumpulan kekal berwaspada terhadap ketidaktentuan jadual pelaksanaan projek, pemberian kontrak, pergerakan harga minyak serta perkembangan geopolitik dan makroekonomi.

 

Bagi mengukuhkan daya saing jangka panjang, Perdana Petroleum meneruskan strategi rasionalisasi dan pembaharuan armada, termasuk pembinaan dua kapal AHTS baharu berkapasiti 60 tan, bagi menggantikan kapal berusia dengan kapal lebih moden dan cekap bahan api.

 

Langkah itu dijangka meningkatkan kecekapan operasi, mengoptimumkan kos serta memperkukuh keupayaan kumpulan memenuhi keperluan pelanggan apabila pasaran OSV terus pulih. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved