liza19/08/2026 - 18:57 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 19 Ogos – Keuntungan selepas cukai TH Plantations Berhad (THP) susut 11.2% kepada RM28.5 juta bagi separuh pertama tahun kewangan 2026 (1H FY2026), namun kumpulan berjaya memperkukuh prestasi operasi dengan peningkatan pengeluaran buah sawit serta kecekapan perahan minyak dan isirung.
Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, hasil kumpulan kekal stabil pada RM410.3 juta berbanding RM410 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya, meskipun berdepan persekitaran harga komoditi yang lebih rendah.
Pengeluaran tandan buah segar (FFB) meningkat 0.9% kepada 332,319 tan metrik daripada 329,359 tan metrik, manakala kadar perahan minyak (OER) bertambah baik kepada 19.84% daripada 19.18%.
Kadar perahan isirung (KER) turut meningkat kepada 5.07% daripada 4.64%, menunjukkan peningkatan kecekapan operasi di ladang dan kilang kumpulan.
Pengeluaran lebih tinggi tampung harga CPO
Peningkatan operasi itu membantu THP mengurangkan kesan penurunan harga purata minyak sawit mentah (CPO) yang direalisasikan kepada RM4,313 setan metrik berbanding RM4,399 setan metrik dalam tempoh sama tahun lalu.
Keupayaan kumpulan mengekalkan hasil walaupun harga CPO lebih rendah disokong jumlah pengeluaran yang lebih tinggi serta prestasi perahan yang bertambah baik.
Keuntungan sebelum cukai dan zakat (PBTZ) turut meningkat kepada RM55.2 juta berbanding RM54.5 juta setahun sebelumnya.
Peningkatan itu disokong keuntungan kasar yang lebih tinggi, yang membantu mengimbangi kerugian pertukaran mata wang asing belum direalisasikan serta kerugian rosot nilai yang direkodkan dalam tempoh berkenaan.
Bagaimanapun, keuntungan selepas cukai yang boleh dikaitkan kepada pemegang saham kumpulan susut lebih ketara, iaitu 29.3% kepada RM17.4 juta daripada RM24.6 juta.
THP berkata penurunan itu terutama disebabkan bahagian keuntungan tambahan yang dijana sepanjang tempoh berkenaan yang lebih besar menjadi hak pemegang saham lain dalam anak syarikat kumpulan.
Tekanan jualan dan kos
Bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026, hasil THP turun kepada RM220.8 juta berbanding RM226.6 juta dalam suku sama tahun sebelumnya.
Penurunan hasil itu terutama disebabkan jumlah jualan minyak sawit mentah dan isirung sawit yang lebih rendah, walaupun harga jualan purata yang direalisasikan lebih tinggi pada suku tersebut.
PBTZ bagi suku kedua turut susut kepada RM25.6 juta daripada RM29 juta setahun sebelumnya, ketika kumpulan berdepan peningkatan kos input pertanian, khususnya baja, susulan konflik berterusan di Timur Tengah.
Namun, peningkatan prestasi operasi membantu mengurangkan kesan daripada tekanan kos berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif THP, Datuk Ts. Borhan Bachi berkata kumpulan akan terus memberi tumpuan kepada pengukuhan asas operasi, selain mengekalkan disiplin dalam pengurusan kos dan modal.
Beliau berkata peningkatan pengeluaran FFB, OER dan KER menyediakan asas operasi lebih kukuh kepada kumpulan, manakala loji kuasa biogas pertama THP yang beroperasi dengan baik turut menunjukkan nilai inisiatif kelestarian syarikat.
Prospek separuh kedua 2026
THP menjangka permintaan yang berdaya tahan serta bekalan minyak sawit yang boleh dieksport lebih terhad akan terus menyokong pasaran.
Permintaan dijangka dipacu pelaksanaan mandat biodiesel, khususnya program B50 Indonesia, selain permintaan bermusim sempena musim perayaan, harga minyak mentah yang kukuh serta perkembangan geopolitik di Timur Tengah.
Dari sudut bekalan, jumlah eksport yang terhad dan perubahan dasar minyak sawit di Indonesia berpotensi menyokong asas pasaran, manakala kemungkinan kemunculan El Niño pada penghujung 2026 hingga awal 2027 boleh meningkatkan risiko bekalan dan turun naik pasaran.
Bagi THP, pengeluaran dijangka bertambah baik pada separuh kedua tahun ini, disokong peningkatan kecekapan penuaian, produktiviti serta prestasi kilang.
Namun, kos input pertanian dan bahan api yang lebih tinggi susulan konflik Timur Tengah dijangka memberi tekanan sementara kepada kos pengeluaran, walaupun tekanan itu dijangka reda sekiranya konflik tidak berpanjangan.
Secara keseluruhan, THP kekal berhati-hati tetapi optimistik terhadap prospek keuntungan bagi baki 2026. - DagangNews.com






