Hibiscus Petroleum terima lampu hijau konsep Greater Marigold, sasar pengeluaran minyak pada 2030

Business & Finance
30 Oct 2026 • 3:22 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Hibiscus Petroleum terima lampu hijau konsep Greater Marigold, sasar pengeluaran minyak pada 2030 Image from: Hibiscus Petroleum terima lampu hijau konsep Greater Marigold, sasar pengeluaran minyak pada 2030 sarah30/10/2026 - 15:22 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 30 Okt - Hibiscus Petroleum Bhd menerima surat tiada bantahan daripada pihak berkuasa United Kingdom (UK) terhadap konsep pembangunan Greater Marigold Area Development (GMAD) di Laut Utara menggunakan kapal pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO), dengan pengeluaran minyak pertama disasarkan pada 2030.

 

Menurut Laporan Tahunan 2025/2026 kumpulan itu, perkembangan tersebut membolehkan Hibiscus Petroleum meneruskan perancangan GMAD yang berpotensi menjadi hab pengeluaran minyak kedua syarikat di UK selepas Anasuria Cluster.

 

Projek yang terletak kira-kira 250 kilometer di timur laut Aberdeen itu merangkumi medan minyak Marigold West, Marigold East, Sunflower, Kildrummy dan Crown, selain prospek penerokaan Cross.

 

GMAD mempunyai anggaran sumber minyak kontingen 2C sebanyak 55.9 juta tong dan gas sebanyak 3.9 bilion kaki padu standard setakat 1 Julai 2026, berdasarkan penilaian RPS Energy pada Mei 2026. Sumber kontingen merujuk kepada minyak dan gas yang dikenal pasti tetapi belum diklasifikasikan sebagai rizab komersial.

 

gmd

 

Hibiscus Petroleum turut memperkukuh kedudukannya dalam projek itu selepas melengkapkan pengambilalihan kepentingan Marigold East daripada Ithaca Energy pada Ogos 2025, sekali gus meningkatkan kepentingannya dalam medan Marigold yang digabungkan kepada 91.25%.

 

Dalam perkembangan berkaitan, kumpulan itu sedang berbincang dengan bakal pelabur strategik bagi mendapatkan pembiayaan untuk peluang pertumbuhan syarikat. Bagaimanapun, pembangunan GMAD masih tertakluk kepada usaha mendapatkan rakan kongsi projek serta kelulusan kawal selia yang diperlukan.

 

GMAD merupakan sebahagian daripada strategi Hibiscus 3.0 yang menyasarkan pengeluaran bersih sebanyak 70,000 tong setara minyak sehari dan rizab minyak serta gas terbukti dan berkemungkinan (2P) sebanyak 150 juta tong setara minyak menjelang 2030.

 

Sebagai perbandingan, Hibiscus Petroleum mencatat purata pengeluaran bersih sebanyak 25,482 tong setara minyak sehari bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026, manakala rizab bersih 2P berjumlah 76.9 juta tong setara minyak setakat 1 Julai 2026.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved