sarah21/10/2026 - 17:40 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 21 Okt - Sarawak menyasarkan pelaburan antara RM275 bilion hingga RM330 bilion menjelang 2030 menerusi empat kluster industri utama, termasuk tenaga bersih dan petrokimia, yang dijangka mewujudkan sebanyak 254,000 peluang pekerjaan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, empat kluster berkenaan dikenal pasti menerusi kajian dasar pelaburan Sarawak yang baru disiapkan bagi menarik pelaburan bernilai tinggi, mempelbagaikan asas perindustrian negeri serta meningkatkan penyertaan syarikat tempatan.
Menurut beliau, kluster tenaga bersih akan memanfaatkan sumber tenaga boleh baharu untuk membangunkan sektor pembuatan hijau, manakala kluster petrokimia memberi tumpuan kepada pengembangan industri hiliran gas, petrokimia dan oleokimia.
Katanya, pembangunan sektor petrokimia turut merangkumi pengeluaran bahan api penerbangan mampan (SAF) serta aktiviti pemerangkapan karbon, sejajar dengan usaha negeri memperluas aktiviti perindustrian.
“Dua lagi kluster ialah industri termaju yang merangkumi semikonduktor, elektronik, teknologi perubatan, farmaseutikal, aeroangkasa, bioindustri, pusat data kecerdasan buatan (AI) dan pembuatan makanan bernilai tinggi,” katanya ketika menggulung perbahasan berkaitan Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak seperti di laporkan The Star hari ini.
Beliau berkata, kluster keempat melibatkan sektor pelancongan dan perkhidmatan dengan tumpuan kepada ekopelancongan, acara perniagaan, pendidikan tinggi, perkhidmatan perubatan serta perkhidmatan digital.
Awang Tengah berkata, kajian dasar pelaburan itu menyediakan kerangka strategik bagi memperkukuh daya saing Sarawak sebagai destinasi pelaburan, selain mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkemahiran dan meningkatkan penglibatan perusahaan tempatan dalam aktiviti ekonomi bernilai tinggi.
Bagi menghubungkan syarikat tempatan dengan peluang pelaburan, kementeriannya sedang membangunkan jaringan komersial menerusi program rantaian bekalan dan penyumberan global Sarawak di Kuching, selain mengadakan sesi libat urus di Shanghai, Seoul, London dan Munich.
Tambah beliau, usaha memperluas akses pasaran, membina kerjasama perniagaan dan meningkatkan daya saing perusahaan tempatan akan dipergiatkan pada tahun depan.
“Penekanan diberikan kepada hasil yang praktikal, iaitu hubungan pembekal yang lebih kukuh, kerjasama teknologi serta akses kepada rantaian bekalan serantau dan global,” katanya.- DagangNews.com





