AMPANG – Polis memohon bantuan orang ramai mengesan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Taman Pandan Mewah di sini sejak Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang JayaAsisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, S Jaselan dilaporkan keluar dari sebuah kondominium pada jam 2 petang dan sehingga kini masih belum pulang ke rumah serta gagal dihubungi.
"Kali terakhir mangsa dilihat memakai baju-T berwarna merah dan seluar jean biru yang mempunyai kesan koyak pada bahagian lutut.
"Remaja itu berbadan kurus dengan ketinggian kira-kira 160 sentimeter dan berat 45 kilogram," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Khairul Anuar berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai keberadaan remaja terbabit diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran.
"Orang ramai juga boleh menghubungi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya di talian 03-42897222 atau Pegawai Penyiasat, Sarjan Azamil Makmor di talian 019-6004104," katanya.






