AMPANG – Penduduk Pandan Mewah di sini berharap lebih 100 pelarian Rohingya yang diusir dari penempatan mereka di Kampung Kuala Muda, Pulau Pinang tidak ditempatkan di kawasan itu kerana bimbang menambah kebanjiran etnik berkenaan.
Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Wati, 44, berkata, komuniti Rohingya di kawasan itu sudah ramai dan pertambahan jumlah mereka dikhuatiri meresahkan dan menjejaskan kesejahteraan penduduk.
"Kami tak mahu terima mereka, cukuplah yang ada di sini pun sudah memeningkan kepala," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Rabu.
Menurutnya, kebimbangan penduduk bertambah apabila mendakwa melihat beberapa individu yang tidak dikenali sebelum ini meminta sedekah di sebuah restoran berhampiran kediamannya.
Bagaimanapun, Wati mengakui tidak dapat mengesahkan sama ada individu itu mempunyai kaitan dengan kumpulan pelarian yang diusir dari Kampung Kuala Muda.
"Saya tidak boleh sahkan, tetapi memang wajah mereka berbeza daripada biasa saya lihat," katanya.
Seorang lagi penduduk, Izzati, 49, berkata, kawasan Pandan Mewah sememangnya mempunyai komuniti Rohingya yang ramai dan mereka boleh dilihat di beberapa lokasi sekitar kawasan perumahan serta premis perniagaan.
Katanya, dalam kalangan mereka kebanyakannya bekerja di kilang dan premis berhampiran, manakala sebahagian lagi berniaga di pasar malam, mengutip barang kitar semula serta meminta sedekah.
Penduduk yang hanya dikenali sebagai Rosnah, 49, berkata, kawasan perumahan itu juga sering dijadikan lokasi transit oleh sebahagian pelarian Rohingya dari beberapa negeri sebelum mendapatkan rawatan atau bersalin di sebuah hospital kerajaan berhampiran.
Katanya, berdasarkan maklumat didengarinya, terdapat pelarian Rohingya dari Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang menyewa bilik di flat sekitar Pandan Mewah untuk tempoh singkat sebelum pulang ke negeri masing-masing.
"Selepas selesai urusan bersalin, mereka akan pulang semula ke negeri asal," dakwanya.
Seorang lagi penduduk dikenali sebagai Sulaiman, 43, pula berkata, pihak berkuasa diharap dapat menjalankan pemeriksaan sekiranya terdapat sebarang pelanggaran undang-undang.
Katanya, penduduk mahu agensi berkaitan menyiasat segala aduan dibangkitkan bagi memastikan kawasan itu terus selamat dan mematuhi peraturan.
"Kami cuma mahu suara penduduk didengar dan setiap aduan disiasat secara telus. Jika benar ada pelanggaran undang-undang, tindakan sewajarnya perlu diambil," tambah beliau.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia (Merhrom), Zafar Ahmad Abdul Ghani berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima apa-apa maklumat mengenai penghantaran etnik itu di kawasan Pandan Mewah.
Beliau memberitahu, kebanyakan mereka kini menumpang di rumah saudara mara dan kenalan sekitar Balakong dan Semenyih sementara mencari kediaman baharu.
Menurutnya, semua pelarian terbabit memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang sah dan tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah.
"Bukan mudah untuk mereka dapatkan rumah sewa kerana ramai pemilik enggan menyewakan kediaman kepada pelarian," katanya.
Beliau berkata, komuniti Rohingya menghargai layanan serta simpati yang diberikan kerajaan dan rakyat Malaysia sepanjang mereka berada di negara ini.
"Saya berterima kasih kepada kerajaan Malaysia dan rakyat Malaysia yang masih menunjukkan simpati serta solidariti kepada pelarian Rohingya walaupun ada segelintir pihak kurang senang dengan kehadiran mereka," katanya.
Mengulas kejadian di Kampung Kuala Muda, Zafar Ahmad berkata, berdasarkan maklumat diterimanya, pelarian terbabit meninggalkan kawasan itu secara aman sebelum menuju ke Kuala Lumpur bagi mendapatkan bantuan daripada UNHCR.
Katanya, komuniti Rohingya berharap isu kemanusiaan melibatkan pelarian dapat ditangani dengan penuh ihsan tanpa menjejaskan undang-undang negara.






