
JAKARTA – Seorang pelancong warga Switzerland dijatuhi hukuman penjara satu tahun oleh sebuah mahkamah di Pulau Bali selepas didapati bersalah menghina perayaan masyarakat tempatan dikenali sebagai Hari Nyepi, lapor stesen penyiaran BBC semalam.
Hukuman itu dijatuhkan terhadap Luzian Andrin Zgraggen, 26, susulan tindakannya pada Hari Nyepi, 19 Mac lalu.
Dia dilaporkan merakam video dirinya melanggar larangan keluar rumah dalam satu hantaran di platform Instagram yang disertakan dengan kata-kata kesat, demikian menurut media tempatan.
Menerusi klip video yang telah dipadamkan, Zgraggen merakam dirinya berjalan ke pantai yang kosong semasa Hari Nyepi, sambil menyifatkan suasana tersebut sebagai ‘gila’.
Tindakannya mencetuskan kemarahan meluas dalam kalangan masyarakat Bali sebelum dia ditangkap oleh pihak berkuasa pada bulan sama.
Hakim yang mengendalikan kes itu berkata, perbuatan tertuduh telah menyinggung perasaan masyarakat Bali, melukakan kepercayaan mereka serta mencetuskan kemarahan awam.
Semasa perbicaraan, Zgraggen mengaku menyesal dan memohon maaf sambil menyatakan, dia tidak memahami sejauh mana sekatan tersebut dikuatkuasakan serta tidak berniat untuk menghina budaya tempatan.
Nyepi merupakan cuti tahunan di Bali di mana aktiviti di pulau itu menjadi sepi dengan orang ramai tinggal di rumah dan tidak membuat bunyi bising.
Larangan itu berkuat kuasa kepada semua orang di Bali tanpa mengira agama, termasuk pelancong. – AGENSI
The post Hina Hari Nyepi, pelancong Switzerland dipenjara setahun appeared first on Kosmo Digital.





