HIS TIZA Pahang milik Tengku Hassanal, Norza beli 30% saham Mentiga bernilai RM21 juta

LocalBusiness & Finance
13 Oct 2026 • 5:39 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

HIS TIZA Pahang milik Tengku Hassanal, Norza beli 30% saham Mentiga bernilai RM21 juta Image from: HIS TIZA Pahang milik Tengku Hassanal, Norza beli 30% saham Mentiga bernilai RM21 juta liza13/10/2026 - 17:39 Dari kiri, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 13 Okt – Syarikat usaha sama milik Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria iaitu HIS TIZA Pahang Sdn Bhd (HTP) membeli 30% saham Mentiga Corporation Berhad bernilai RM21 juta.

 

Pembelian 21 juta saham daripada Amanah Saham Pahang Berhad (ASPA) itu menjadikan HTP sebagai pemegang saham kedua terbesar Mentiga selepas urus niaga selesai manakala ASPA yang dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Pahang akan kekal sebagai pemegang saham terbesar dengan pegangan 43.91%.

 

Pembelian itu dibuat pada harga RM1 sesaham, mewakili premium 72.41% berbanding harga pasaran Mentiga sebanyak 58 sen sesaham. 

 

 

 

 

 

 

HTP komited pegang saham sekurang-kurangnya lima tahun

HTP merancang bekerjasama dengan lembaga pengarah dan pengurusan Mentiga untuk meningkatkan produktiviti perladangan serta memperbaiki prestasi syarikat itu dalam jangka panjang.

 

Antara keutamaannya ialah meningkatkan hasil tandan buah segar (FFB) kelapa sawit secara berperingkat daripada kira-kira 14 tan sehektar kepada sekitar 18 tan sehektar, selaras dengan purata industri.

 

Dalam jangka panjang, HTP menyasarkan Mentiga menjadi platform perladangan utama Pahang, termasuk meneroka potensi penyatuan aset perladangan negeri itu di bawah Mentiga, tertakluk kepada kelulusan yang diperlukan.

 

Bagi menunjukkan komitmen terhadap pelaburan tersebut, HTP bersetuju memegang saham Mentiga sekurang-kurangnya lima tahun. Urus niaga itu dijangka selesai dalam tempoh 30 hari pasaran daripada tarikh perjanjian, atau pada tarikh lain yang dipersetujui bersama oleh kedua-dua pihak.

 

Mentiga kembali untung selepas empat tahun mencatat kerugian

Mentiga, yang disenaraikan di Bursa Malaysia sejak 1992, memiliki kira-kira 24,800 ekar (10,036 hektar) tanah pajakan jangka panjang di Pahang, terutama untuk tanaman kelapa sawit dan durian. Kumpulan itu turut mempunyai kepentingan dalam perniagaan kayu balak.

 

Syarikat berkenaan mencatatkan kerugian dari 2021 hingga 2024 sebelum kembali mencatatkan keuntungan pada 2025. Pemulihan itu berterusan pada separuh pertama 2026 apabila Mentiga merekodkan keuntungan bersih belum diaudit sebanyak RM1.32 juta daripada hasil RM18.71 juta bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2026.

 

t

 

Pengeluaran tandan buah segar turut meningkat 14% kepada 16,254 tan metrik dalam tempoh sama, manakala nilai aset bersih belum diaudit Mentiga berjumlah RM227.3 juta, bersamaan RM3.17 sesaham setakat 30 Jun 2026.

 

Mentiga mempunyai permodalan pasaran kira-kira RM40 juta, menurut kenyataan HTP.

 

Norza yakin potensi pemulihan Mentiga

Sementara itu Mohamad Norza, yang juga Pengerusi Eksekutif TIZA Global Sdn Bhd berkata HTP sanggup membeli saham Mentiga pada harga premium kerana melihat potensi pertumbuhan jangka panjang syarikat perladangan itu.

 

Beliau berkata Mentiga mempunyai asas perniagaan yang baik, termasuk pegangan tanah yang besar di Pahang, perniagaan perladangan sedia ada serta usaha pemulihan prestasi yang sedang berjalan.

 

Menurutnya, HTP akan membawa pengalaman keusahawanan, pengalaman memulihkan prestasi perniagaan serta peluang pertumbuhan baharu bagi membantu lembaga pengarah dan pengurusan Mentiga meningkatkan nilai syarikat.

 

 

 

 

 

Beliau turut menyambut baik peranan berterusan ASPA sebagai pemegang saham terbesar Mentiga dan menyatakan kesediaan HTP untuk bekerjasama dalam melaksanakan pelan pemulihan syarikat itu.

 

HTP dimiliki secara sama rata oleh TIZA Global Sdn Bhd dan HIS Holdings Sdn Bhd. TIZA Global ialah syarikat pegangan pelaburan Mohamad Norza, manakala HIS Holdings ialah syarikat pegangan pelaburan yang berkaitan dengan Tengku Hassanal. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved