Scientex beli 204 hektar tanah berharga RM580 juta di Pulai, Johor

6 Oct 2026 • 2:19 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Scientex beli 204 hektar tanah berharga RM580 juta di Pulai, Johor Image from: Scientex beli 204 hektar tanah berharga RM580 juta di Pulai, Johor liza06/10/2026 - 14:19 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 6 Okt – Scientex Berhad melalui anak syarikat milik penuhnya, Scientex Quatari Sdn Bhd membeli 14 bidang tanah pegangan bebas di Pulai, Johor Bahru seluas kira-kira 203.39 hektar (502.59 ekar) pada harga RM580.16 juta.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata pembelian daripada Pangkal Budiman Sdn Bhd itu dibuat menerusi Perjanjian Jual Beli (SPA) bersyarat yang dimeterai pada 6 Oktober 2026.

 

“Tanah berkenaan akan dibangunkan sebagai projek hartanah bercampur namun perancangan itu masih di peringkat awal dan butiran seperti nilai pembangunan kasar (GDV), kos pembangunan, jangkaan keuntungan serta tarikh mula dan siap projek belum dapat ditentukan,” katanya.

 

Tanah itu terletak bersebelahan dengan pembangunan sedia ada Scientex, termasuk Taman Pulai Mutiara, Taman Pulai Mutiara 2, Taman Pulai Duta dan Taman Pulai Duta 2.

 

Lokasinya kira-kira 33 kilometer dari pusat bandar Johor Bahru dan 5.5 kilometer dari persimpangan Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Second Link), manakala Tuas Checkpoint terletak kira-kira 13 kilometer dari persimpangan tersebut.

 

Scientex berkata kedudukan tanah yang berhampiran dengan projek sedia ada membolehkan kumpulan itu memanfaatkan kelebihan operasi dan skala ekonomi ketika melaksanakan pembangunan baharu.

 

Menurut syarikat, lebih 90% unit yang dilancarkan di kawasan Pulai setakat ini telah terjual, selepas kumpulan itu membangunkan kawasan berkenaan sejak 1995.

 

Fokus rumah mampu milik

Pembelian itu juga selari dengan sasaran Scientex untuk menambah asset tanah bagi menyokong matlamat membina 50,000 rumah mampu milik di seluruh negara menjelang 2028.

 

Kumpulan itu menjangka tanah berkenaan dapat menyokong model pembangunan hartanah yang berterusan dengan tumpuan kepada rumah bertanah pada harga mampu milik, susulan permintaan yang masih baik dalam segmen tersebut.

 

Scientex turut merujuk kepada prestasi pasaran hartanah Malaysia pada 2025 yang kekal berdaya tahan, dengan sektor kediaman menyumbang 61.6% daripada jumlah aktiviti transaksi hartanah.

 

Daripada segi julat harga, rumah berharga RM300,000 dan ke bawah menguasai 52.3% daripada keseluruhan transaksi, diikuti rumah berharga RM300,001 hingga RM500,000 sebanyak 24.9%.

 

Dibiayai dana dalaman, pinjaman bank

Harga pembelian RM580.16 juta itu dipersetujui berdasarkan rundingan antara pembeli dan penjual dengan mengambil kira nilai pasaran hartanah serupa di sekitar kawasan berkenaan serta faktor lokasi, akses, bentuk muka bumi, saiz tanah, status perancangan dan potensi pembangunan.

 

Scientex akan membiayai pembelian tersebut menggunakan dana yang dijana secara dalaman dan pinjaman bank. Kumpulan itu tidak akan mengambil alih sebarang liabiliti daripada transaksi berkenaan.

 

Pembelian tanah itu dijangka tidak memberi kesan material kepada keuntungan dan aset bersih Scientex bagi tahun kewangan semasa kerana transaksi dijangka selesai sepenuhnya pada separuh kedua 2027.

 

Pada 31 Julai 2026, nisbah hutang bersih (net gearing) Scientex berada pada 0.38 kali dan kumpulan itu menjangka nisbah berkenaan kekal pada tahap sihat selepas pembayaran baki harga pembelian.

 

Tertakluk kelulusan

Transaksi berkenaan masih tertakluk kepada beberapa syarat terdahulu (conditions precedent), termasuk kelulusan Pejabat Tanah dan Galian Johor bagi pembaharuan hakmilik blok serta kelulusan Lembaga Tanah Estet untuk pemindahan tanah.

 

Kelulusan Pejabat Tanah dan Galian Johor bagi pemindahan tanah juga diperlukan sekiranya berkenaan. Syarat-syarat tersebut perlu dipenuhi dalam tempoh sembilan bulan dari tarikh SPA, dengan lanjutan automatik tiga bulan.

 

Mengikut terma SPA, Scientex akan membayar deposit sebanyak 10% atau RM58.02 juta, manakala baki 90% berjumlah RM522.14 juta perlu dijelaskan dalam tempoh tiga bulan selepas semua syarat terdahulu dipenuhi.

 

Pembelian itu dijangka selesai sepenuhnya pada separuh kedua 2027, tertakluk kepada pemenuhan syarat dan tiada keadaan luar jangka yang berlaku.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved