PMCK beli 2 syarikat produk perubatan bernilai RM53 juta

LocalBusiness & Finance
5 Oct 2026 • 9:08 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

PMCK beli 2 syarikat produk perubatan bernilai RM53 juta Image from: PMCK beli 2 syarikat produk perubatan bernilai RM53 juta liza05/10/2026 - 09:08 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 5 Okt – PMCK Berhad merancang untuk mempelbagaikan perniagaannya kepada aktiviti mengimport dan membekalkan produk perubatan menerusi pengambilalihan Derberg Sdn Bhd dan Marpoliq Sdn Bhd bernilai RM52.77 juta secara tunai.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan itu berkata pihaknya telah memeterai perjanjian jual beli saham bersyarat bagi mengambil alih kedua-dua syarikat berkenaan yang dimiliki adik-beradik, Lim Foong Leng, 61 dan Lim Kwai Weng, 57.

 

Foong Leng yang memegang kepentingan kawalan dalam kedua-dua syarikat itu menubuhkan Marpoliq pada 1996 sebelum mengambil alih Derberg pada 2009 ketika syarikat berkenaan tidak mempunyai operasi.

 

Sementara itu, Kwai Weng dilantik sebagai pengarah Marpoliq pada 1997 dan Derberg pada 2009.

 

Menurut PMCK, pengambilalihan itu membolehkan kumpulan mengurangkan kebergantungan terhadap perniagaan perkhidmatan penjagaan kesihatan sedia ada, selain mempelbagaikan sumber pendapatan kepada segmen lain dalam industri perubatan.

 

Fokus kepada bekalan produk perubatan

Marpoliq terlibat dalam pembekalan produk perubatan, manakala Derberg mengendalikan aktiviti import produk berkenaan serta memegang pendaftaran dan lesen Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) bagi portfolio produk kumpulan.

 

Antara produk yang dibekalkan termasuk peralatan terapi oksigen, alat pernafasan dan saluran udara, sistem penyedutan dan saliran, serta produk pemakanan melalui tiub.

 

Kedua-dua syarikat mempunyai pelanggan terdiri daripada hospital dan klinik kerajaan serta swasta dengan sebahagian hubungan bersama pelanggan dan pembekal telah terjalin lebih 25 tahun.

 

PMCK akan membiayai pembelian itu menerusi gabungan pinjaman bank dan dana yang dijana secara dalaman, termasuk bayaran deposit RM5.28 juta dan RM41.49 juta apabila pengambilalihan selesai.

 

Baki RM6 juta hanya akan dibayar sekiranya Marpoliq dan Derberg mencapai sasaran keuntungan yang dipersetujui bagi tahun kewangan 2027 (FY2027) dan tahun kewangan 2028 (FY2028).

 

Sasaran keuntungan dan penilaian pengambilalihan

Kedua-dua syarikat memberikan jaminan keuntungan selepas cukai sekurang-kurangnya RM3 juta setahun sepanjang tempoh jaminan keuntungan tersebut.

 

Bagi memastikan sasaran itu dipenuhi, PMCK turut memeterai perjanjian perkhidmatan pengurusan bersama Foong Leng dan Kwai Weng bagi memastikan penglibatan berterusan mereka dalam mengawasi operasi, melaporkan perkembangan kepada lembaga pengarah, mencadangkan strategi serta mengurus operasi harian dan pematuhan undang-undang.

 

Bagi tahun kewangan 2026 (FY2026), Marpoliq dan Derberg mencatat keuntungan selepas cukai diselaraskan sebanyak RM5.34 juta secara gabungan. 

 

PMCK berkata harga pembelian itu dipersetujui bersama dengan mengambil kira keuntungan selepas cukai teraudit kedua-dua syarikat setakat 31 Mac 2026, sasaran keuntungan bagi FY2027 dan FY2028 serta prospek masa depan kedua-dua syarikat.

 

ZICO Evolve Capital Sdn Bhd yang dilantik untuk menilai harga pembelian RM52.77 juta mendapati nilai berkenaan adalah wajar. Penilaian itu mengambil kira harga belian diselaraskan, keuntungan selepas cukai dan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA), selain perbandingan dengan syarikat tersenarai seumpamanya serta enam urus niaga pengambilalihan syarikat barangan perubatan di Malaysia.

 

PMCK berkata pengambilalihan itu dijangka menyumbang sekurang-kurangnya 25% kepada keuntungan bersih kumpulan selepas selesai, namun cadangan berkenaan masih tertakluk kepada kelulusan pemegang saham.

 

Berpangkalan di Kedah, PMCK kini mengendalikan Putra Medical Centre di Alor Setar, sebuah hospital dengan 121 katil, selain menggunakan hasil tawaran awam permulaan (IPO) untuk membangunkan hab penjagaan kesihatan baharu di Kulim yang dijangka siap pada suku pertama 2028.

 

Bagi FY2026, keuntungan bersih PMCK meningkat kepada RM3.05 juta berbanding RM884,000 sebelumnya, manakala hasil meningkat 5.2% kepada RM22.89 juta daripada RM21.76 juta. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved