sarah13/10/2026 - 09:35 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 13 Okt - Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim membeli pegangan saham dalam syarikat perlombongan Southern Alliance Mining Ltd (SAM) bernilai S$6.1 juta (RM19.46 juta), menurut kenyataan pada Selasa.
Menurut laporan The Edge, pengambilalihan itu melibatkan kira-kira 2.25% daripada keseluruhan saham terbitan syarikat berkenaan, bersamaan 14.32 juta saham biasa yang dibeli daripada Pengarah Urusannya, Datuk Sri Pek Kok Sam menerusi urus niaga luar pasaran pada 12 Oktober 2026.
Saham itu diperoleh pada harga S$0.425 (RM1.36) sesaham, iaitu premium kira-kira 11.84% berbanding harga penutup pasaran S$0.380 (RM1.21) sesaham pada tarikh yang sama.
SAM, yang disenaraikan di Papan Catalist Bursa Singapura sejak 26 Jun 2020 dengan kod saham SGX:QNS, bukan pihak dalam urus niaga berkenaan dan tidak menerima sebarang hasil daripada pengambilalihan itu.
Selepas pemindahan saham tersebut, Pek masih memegang secara langsung 55.74% daripada keseluruhan saham terbitan syarikat, dengan pegangan efektif kira-kira 56.66%. Beliau juga kekal sebagai pemegang saham pengawal dan pengarah urusan syarikat.
“Pemindahan saham itu tidak menyebabkan sebarang perubahan terhadap pengurusan, operasi atau hala tuju strategik kumpulan. Komposisi Lembaga Pengarah dan pengurusan kanan juga kekal tidak berubah,” menurut kenyataan itu.

SAM mempunyai operasi perlombongan yang mantap di Johor menerusi lombong utamanya, Chaah Mine, selain membangunkan perniagaan perlombongan yang lebih pelbagai dengan kehadiran yang semakin berkembang dalam sektor unsur nadir bumi.
Pada September 2025, kumpulan itu menyelesaikan pengambilalihan 40% kepentingan ekuiti dalam MCRE Resources Sdn Bhd, sekali gus menandakan kemasukannya ke dalam sektor nadir bumi.
Kumpulan itu turut meneruskan cadangan pengambilalihan Paramount Synergy Sdn Bhd, yang dikaitkan dengan projek nadir bumi Labis di Johor.
Strategi kepelbagaian itu membolehkan kumpulan mengambil bahagian dalam permintaan yang semakin meningkat terhadap mineral kritikal, didorong oleh perkembangan elektrifikasi global, tenaga boleh baharu dan sektor pembuatan termaju. - DagangNews.com






