
KUALA TERENGGANU: Beberapa laluan utama di sekitar bandar raya ini ditutup secara berperingkat selama enam jam bagi memberi laluan kepada raptai penuh perbarisan dan sambutan Hari Kemerdekaan 2026 peringkat negeri Terengganu.
Raptai penuh perbarisan berlangsung Sabtu ini anakala sambutan Hari Kemerdekaan peringkat negeri dijadualkan pada Isnin ini.
Laluan yang terlibat bagi kedua-dua acara itu ialah sekitar Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah sebagai lokasi permulaan, Jalan Pejabat, persimpangan Wisma Darul Iman (kiri), Jalan Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Bulatan Ladang (second exit), Jalan Sultan Zainal Abidin (kiri) dan Dataran Shahbandar sebagai lokasi penamat.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, penutupan sementara itu membabitkan laluan sepanjang kira-kira tiga kilometer bagi memastikan kelancaran pergerakan peserta perarakan serta keselamatan semua pihak yang terlibat.
“Penutupan jalan bagi kedua-dua acara berkenaan bermula pada pukul 6 pagi hingga 12 tengah hari. Jalan dibuka semula kepada lalu lintas selepas perarakan selesai melalui lokasi terbabit, bergantung kepada keadaan kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan,” katanya di sini.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya merancang perjalanan lebih awal, menggunakan laluan alternatif yang sesuai dan tidak menghalang laluan sepanjang jalan yang digunakan sebagai laluan perbarisan. – UTUSAN
The post Beberapa laluan di bandar raya Kuala Terengganu ditutup sempena raptai, sambutan Hari Merdeka appeared first on Utusan Malaysia.






