
Pengumuman bahawa Yamaha bakal menjadi pengeluar tunggal enjin bagi Kejuaraan Dunia Moto3 bermula musim 2028 membuka lembaran baharu buat jenama itu di pentas perlumbaan dunia. Perkembangan tersebut turut mencetuskan minat beberapa pasukan Yamaha dari seluruh dunia untuk mempertimbangkan penyertaan dalam Moto3, termasuk Hong Leong Yamaha Motor Malaysia.
Ketika ditemui pada pusingan Malaysia Cub Prix minggu lalu, wakil Yamaha Racing Malaysia mengesahkan bahawa pihak mereka kini sedang membuat persiapan awal bagi menilai kebarangkalian menyertai Moto3.
“Ya, kami sedang membuat persiapan dan menilai kebarangkalian ke arah itu,” kata wakil tersebut.
Menurut mereka, sejurus selepas pengumuman rasmi dibuat oleh Yamaha, pihak pengurusan terus mengadakan perbincangan bagi meneliti bagaimana projek ini boleh direalisasikan serta apakah persediaan yang perlu dilakukan untuk membentuk sebuah pasukan yang benar-benar kompetitif.
Apa yang lebih menarik, sekiranya penyertaan ini menjadi kenyataan, ia bukan sekadar menggunakan nama Hong Leong Yamaha semata-mata. Sebaliknya, pasukan itu dijangka dibentuk menggunakan tenaga kerja dan kepakaran sedia ada daripada Yamaha Racing Malaysia, termasuk kru serta barisan teknikal yang kini mengendalikan kempen di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) dan Kejuaraan Petronas MAM Malaysia Cub Prix.
Dari sudut pembangunan pelumba pula, pasukan ini dijangka memberi peluang kepada pelumba-pelumba muda berbakat untuk dibentuk sebagai pelumba Moto3, sekali gus membuka laluan baharu kepada bakat Malaysia ke pentas Kejuaraan Dunia.
Difahamkan, inisiatif ini digerakkan sepenuhnya oleh Yamaha Racing Malaysia dan bukan melibatkan Yamaha Asia. Sekiranya segala perancangan berjalan lancar, ia bakal menjadi satu lagi pencapaian besar buat sukan permotoran negara, selain mengukuhkan lagi peranan Malaysia dalam pembangunan pelumba di peringkat antarabangsa.
The post Hong Leong Yamaha Malaysia Berminat untuk Tubuhkan Pasukan Moto3 appeared first on TW Media.





