
PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) meletakkan hospital berkaitan dalam keadaan siap siaga sepenuhnya ketika operasi membawa keluar mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (PDU) di Sarawak diteruskan hari ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kini melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Menurutnya, segala perkembangan di lokasi kejadian diserahkan kepada pihak berkuasa yang mengendalikan operasi berkenaan, dengan Ketua Polis Sarawak bertindak sebagai accident commander.
“Setakat laporan pagi ini, operasi membawa keluar mangsa dijalankan oleh pasukan tentera, PDRM dan JBPM.
“Pihak hospital bersedia sepenuhnya di semua peringkat untuk menerima mangsa sebaik sahaja mereka dibawa dari lokasi kejadian,” katanya.
Dzulkefly berkata, dalam mendepani situasi itu, KKM memberi tumpuan kepada tiga perkara utama iaitu keselamatan petugas kesihatan, kebajikan keluarga serta waris mangsa dan memastikan kesinambungan perkhidmatan kesihatan kepada komuniti terjejas.
Katanya, keselamatan petugas yang menjalankan perkhidmatan perubatan menjadi keutamaan mutlak kementerian.
“Yang kedua adalah memastikan kebajikan keluarga dan waris mangsa terlibat. Ketiga, memastikan kita terus memberikan perkhidmatan kesihatan kepada komuniti di sekitar tempat-tempat yang terjejas,” katanya.
Dalam pada itu, pasukan Kesihatan Mental dan Bantuan Psikologi (MHPSS) KKM turut digerakkan bagi mendampingi keluarga mangsa dengan menyediakan Bantuan Psikologi (PFA) serta sokongan emosi secara berterusan.
Menurut Dzulkefly, sokongan sama turut diberikan kepada anggota perkhidmatan perubatan yang terkesan akibat trauma susulan insiden berkenaan.
Dari aspek kebajikan, beliau berkata, bantuan kewangan kepada keluarga mangsa akan disalurkan menerusi Tabung Ikhlas Sukan dan Kebajikan Pegawai Jabatan KKM, selain bayaran ex gratia oleh kerajaan.
Beliau turut memberi jaminan bahawa KKM akan terus menyalurkan maklumat rasmi dari semasa ke semasa berdasarkan perkembangan yang disahkan pihak berkuasa bagi memastikan orang ramai memperoleh maklumat tepat.
“Saya mohon semua rakyat Malaysia sama-sama menitipkan doa agar urusan operasi SAR diteruskan hari ini dan mangsa dapat ditemukan,” katanya.
The post Hospital siap siaga terima mangsa nahas helikopter, operasi SAR diteruskan appeared first on MYBERITA.

![[VIDEO] ‘Lambaian terakhir penduduk Long Lellang kepada hero, heroin’](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/WhatsApp-Image-2026-09-09-at-22.24.00-1024x768.jpeg)




