Hospital swasta baharu di Melaka dibina Southern Score perkukuh kemudahan kesihatan negeri - Penganalisis

LocalHealth & Fitness
15 Sep 2026 • 9:15 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Hospital swasta baharu di Melaka dibina Southern Score perkukuh kemudahan kesihatan negeri - Penganalisis Image from: Hospital swasta baharu di Melaka dibina Southern Score perkukuh kemudahan kesihatan negeri - Penganalisis amree15/09/2026 - 09:15 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 15 Sept — Projek hospital swasta baharu bernilai RM180 juta di Hang Tuah Jaya, Melaka bukan sahaja mengukuhkan buku tempahan Southern Score Builders Berhad (SSB), malah dijangka menambah kapasiti kemudahan kesihatan swasta dan memberi nilai ekonomi baharu kepada negeri itu.

 

Projek yang dilaksanakan menerusi anak syarikat milik penuh SSB, Southern Score Sdn Bhd (SSSB), selepas menerima surat anugerah daripada Radium Hospital Ayer Keroh Sdn Bhd (RHAK), membabitkan pembinaan bangunan hospital swasta tujuh tingkat bersama kemudahan sokongan, termasuk blok parkir tiga tingkat serta bangunan utiliti mekanikal dan elektrikal (M&E).

 

Dari perspektif pembangunan negeri, kemunculan hospital baharu itu berpotensi memperluas pilihan perkhidmatan kesihatan swasta kepada penduduk Melaka dan kawasan sekitarnya, selain menyokong pertumbuhan ekosistem berkaitan penjagaan kesihatan apabila projek tersebut siap pada Mei 2028.

 

Pembinaan kemudahan kesihatan berskala besar itu juga dijangka memberi kesan limpahan kepada aktiviti ekonomi setempat menerusi keperluan terhadap tenaga kerja, perkhidmatan profesional, pembekal bahan binaan serta pelbagai perkhidmatan sokongan sepanjang tempoh pembinaan dan operasi hospital.

 

Bagi SSB pula, Apex Securities menyifatkan projek tersebut sebagai kontrak tunggal terbesar yang diraih kumpulan itu merentas semua segmen setakat 2026, sekali gus memperluas pendedahan syarikat dalam sektor infrastruktur kesihatan selain perniagaan pembinaan kediaman dan projek pusat data.

 

Southern Score_DagangNews2026

 

Ia menganggarkan kontrak itu mampu menyumbang sekitar RM27 juta keuntungan selepas cukai (PAT) kepada SSB sepanjang FY2027 hingga FY2028, berdasarkan margin keuntungan bersih 15%, selain meningkatkan buku tempahan kumpulan kepada sekitar RM1.86 bilion.

 

Firma penyelidikan itu berkata kemenangan kontrak SSB setakat ini berjumlah RM431.5 juta, menghampiri sasaran pengisian semula buku tempahan FY2027 sebanyak RM500 juta, manakala aliran projek daripada kumpulan Radium dilihat menyediakan sumber kerja yang lebih berulang dan boleh diramal.

 

Sementara itu, Phillip Capital melihat projek hospital tersebut sebagai kesinambungan daripada pakej substruktur yang diumumkan pada November 2025, sekali gus menandakan projek sama kini memasuki fasa kerja utama daripada substruktur kepada pembinaan bangunan dan kemudahan berkaitan.

 

Phillip Capital menganggarkan projek itu menyumbang sekitar RM23 juta kepada keuntungan bersih SSB sepanjang FY2027 hingga FY2029, berdasarkan margin keuntungan bersih 13%, selain meletakkan buku tempahan kumpulan pada sekitar RM1.6 bilion selepas kemenangan terbaharu.

 

Lebih penting, buku tender SSB bernilai RM1.1 bilion yang masih tersedia memberi ruang kepada kumpulan untuk terus mendapatkan projek baharu, termasuk projek pusat data sebanyak 52%, hospital dan kediaman bertingkat tinggi sebanyak 44% serta penyelesaian perundingan kejuruteraan khusus sebanyak 4%, menurut Phillip Capital.

 

Secara keseluruhan, projek hospital swasta baharu itu dilihat memberi manfaat pada dua peringkat kepada Melaka -- menambah kapasiti infrastruktur kesihatan dan merancakkan aktiviti ekonomi berkaitan, selain pada masa sama menyediakan sumber pendapatan serta keterlihatan buku tempahan yang lebih kukuh kepada SSB.

 

Apex Securities mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) 78 sen, manakala Phillip Capital turut mengekalkan saranan 'beli' dengan TP 74 sen. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved