HSS Engineers mula teroka sektor kumbahan, pakej tambahan IWK jadi peluang baharu – Mercury Securities

LocalBusiness & Finance
29 Sep 2026 • 11:57 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

HSS Engineers mula teroka sektor kumbahan, pakej tambahan IWK jadi peluang baharu – Mercury Securities Image from: HSS Engineers mula teroka sektor kumbahan, pakej tambahan IWK jadi peluang baharu – Mercury Securities liza29/09/2026 - 11:57 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 29 Sept – Kontrak RM10.95 juta yang diperoleh HSS Engineers Berhad (HSS) menerusi syarikat bersekutunya dilihat strategik kerana membuka ruang kepada kumpulan untuk meluaskan penglibatannya daripada infrastruktur bekalan air kepada infrastruktur kumbahan, kata Mercury Securities.

 

Firma penyelidikan itu berkata walaupun nilai kontrak sederhana berbanding buku tempahan HSS yang berjumlah RM2.16 bilion, pelantikan tersebut mempunyai kepentingan strategik kerana memperluas portfolio kumpulan kepada infrastruktur air sisa.

 

HSS Integrated Sdn Bhd (HSSI), syarikat bersekutu yang dimiliki 30% oleh HSS, menerima surat pelantikan daripada Sutracom Sdn Bhd bagi kerja menaik taraf loji rawatan kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) di Negeri Sembilan dan Melaka, Fasa 2.

 

Mercury Securities berkata projek berkenaan turut menjadi sebahagian daripada program naik taraf loji rawatan kumbahan bagi memenuhi piawaian pelepasan efluen yang lebih ketat, sekali gus membuka potensi kepada HSS untuk memperoleh pakej tambahan sekiranya IWK meneruskan program berkenaan.

 

Peluang baharu dalam infrastruktur air sisa

Pelantikan bernilai RM10.95 juta termasuk cukai jualan dan perkhidmatan itu merangkumi khidmat perundingan kejuruteraan awam dan struktur, kejuruteraan mekanikal dan elektrik serta penyeliaan tapak pembinaan sepenuh masa sepanjang tempoh pembinaan.

 

Tempoh pelaksanaan projek dijangka selama 42 bulan dan kerja tersebut akan dilaksanakan secara bersama oleh HSSI dan HSS Engineering Sdn Bhd (HSSE), anak syarikat milik penuh HSS, di bawah aturan kerjasama eksklusif.

 

HSS menjangka perkhidmatan berkenaan menyumbang kepada keuntungan kumpulan dari FY2026 hingga FY2030.

 

Mercury Securities berkata peluasan kepada kerja kumbahan melengkapi portfolio air sedia ada HSS yang disokong projek modal bekalan air oleh Pengurusan Aset Air Berhad di lima negeri, termasuk projek Loji Rawatan Air Sungai Perai bernilai RM600 juta.

 

Kumpulan itu juga mempunyai perjanjian perundingan panel dengan Air Selangor dan setakat ini memperoleh lapan pakej di bawah program pengurangan Air Tidak Berhasil (NRW) negeri berkenaan.

 

ARTIKEL BERKAITAN: HSS Engineers dilantik sebagai perunding naik taraf loji kumbahan IWK di Negeri Sembilan, Melaka

 

Buku tempahan kekal RM2.16 bilion

Mercury Securities mengekalkan anggaran buku tempahan belum dibilkan HSS pada RM2.16 bilion setakat enam bulan pertama FY2026.

 

“Oleh kerana kontrak berkenaan diperoleh melalui HSSI yang hanya dimiliki 30% oleh HSS, sumbangannya akan diambil kira sebagai bahagian keuntungan syarikat bersekutu dan bukannya hasil yang disatukan sepenuhnya dalam akaun Kumpulan,” kata firma tersebut.

 

Buku tempahan RM2.16 bilion itu bersamaan 9.9 kali anggaran hasil FY2026 dan 8.4 kali anggaran hasil FY2027 HSS, dengan jumlah tersebut akan dibilkan secara berperingkat dalam tempoh lapan tahun.

 

Prospek penambahan buku tempahan kekal baik, disokong buku tender bernilai RM480 juta setakat enam bulan pertama FY2026 serta peruntukan RM131.3 bilion bagi perbelanjaan berkaitan pembangunan di bawah Belanjawan 2026.

 

Unjuran keuntungan dipotong 12.1%

Namun, Mercury Securities menurunkan unjuran keuntungan HSS bagi FY2026 dan FY2027 sebanyak 12.1% masing-masing kepada RM16.6 juta dan RM19.1 juta.

 

Semakan itu dibuat selepas firma penyelidikan berkenaan menurunkan anggaran margin keuntungan kasar HSS kepada 33% daripada 35% susulan ketidaktentuan geopolitik yang meningkatkan risiko pelaksanaan projek.

 

Mercury Securities menganggarkan sumbangan keuntungan daripada syarikat bersekutu susulan kontrak baharu itu masing-masing RM295,000 dan RM382,000 bagi FY2026 dan FY2027.

 

Susulan semakan tersebut, firma itu menurunkan harga sasaran HSS kepada 44 sen daripada 50 sen sebelum ini, berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan sebanyak 11.7 kali terhadap anggaran pendapatan sesaham FY2027 sebanyak 3.8 sen.

 

Mercury Securities mengekalkan saranan ‘Pegang’ terhadap HSS dengan prospek kumpulan terus disokong buku tempahan RM2.16 bilion, buku tender RM480 juta serta projek pengangkutan, air, pusat data dan pelabuhan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved