Huawei melancarkan tablet MatePad Pro Max dalam sebuah acara global “Now Is Your Spark” di Bangkok sebentar tadi. Tablet ini hadir dengan ketebalan hanya 4.7mm yang menjadikannya antara tablet mercu berprofil nipis pernah dihasilkan oleh Huawei.

Lebih menariknya, Huawei memposisikan MatePad Pro Max ini bukan sekadar untuk tujuan produktiviti tetapi sebagai alternatif kepada komputer riba yang juga merupakan kesinambungan daripada strategi mereka dalam mempromosikan beberapa siri tablet sedia ada di pasaran.

Tablet ini hadir dengan skrin sebesar 13.2-inci berkadar segar semula 144Hz yang menggunakan teknologi Flexible OLED Papermatte Display untuk mengurangkan kesan silau. Dengan rekaan yang nipis bersama bezel hanya 3.55mm, ia menjadi antara langkah penting Huawei selepas MatePad Pro 13.2 sekali gus mampu bersaing dengan beberapa pesaing lain dan menetapkan penanda aras baharu dalam kategori tablet premium.

Bonggol kamera belakang berbentuk bulat menjadi salah satu tarikan utama dengan menempatkan kamera beresolusi 32MP. Dari segi memori, peranti ini ditawarkan dengan pilihan sehingga 12GB RAM serta storan dalaman maksimum 512GB. Bagaimanapun, maklumat rasmi mengenai cip pemprosesan yang digunakan masih belum diumumkan sewaktu pembentangan produk tersebut.
Tablet ini turut dilengkapi bateri berkapasiti besar 10,400mAh dengan pengecasan pantas 40W. serta sokongan papan kekunci Glide Keyboard dan stylus pen untuk lebih produktiviti.




