Huawei Pura 80, 80 Pro dan 80 Pro+ telah dilancarkan hari ini dengan sensor 1″. Ketiga-tiganya hebat tetapi ia tidak mempunyai sistem kamera baharu Huawei Pura 80 Ultra yang dilengkapi sistem kamera yang tidak pernah dilihat sebelum ini.

Huawei Pura 80 Ultra dilengkapi skrin 6.8″ OLED LTPO 120Hz dengan kaca tahan lasak Kunlun, dilengkapi memori 16GB RAM, storan sehingga 1TB dan bateri sebesar 5700 mAh yang menyokong pengecasan 100W berwayar serta 80W secara nirwayar.
Kamera utama terdiri daripada sudut lebar 50MP 1″ dengan apertur boleh ubah f/1.6-f/4.0 serta OIS, lensa ultra lebar 40MP, lensa telefoto 50MP periskop dengan OIS, lensa ultra telefoto periskop 12.5MP dan lensa spektra 1.5MP. Di hadapan pula disertakan sensor 13MP untuk kamera swafoto.

Kedua-dua lensa telefoto periskop menggunakan sensor yang sama dengan ia diletakkan di bawah bonggol paling besar di belakang. Ini membolehkan zum optikal 3.7X dan 9.4X dilakukan Pura 80 Ultra serta zum digital pula sehingga 100X.
Pada Pura 80 Ultra menyokong dua sistem komunikasi satelit Beidou dan Tiantong. Beidou untuk menghantar mesej ketika kecemasan lengkap dengan sokongan menghantar gambar. Tiantong pula membolehkan panggilan telefon satelit dilakukan oleh pemilik apabila tiada rangkaian selular dan internet.

Tiada maklumat mengenai cip pemprosesan yang digunakan cuma ia 36% lebih berkuasa berbanding yang digunakan pada siri Pura 70. Sistem operasi yang digunakan ialah HarmonyOS 5 dengan pelbagai ciri menarik seperti AI membantu menangkap gambar dalam aplikasi kamera, pembantu maya dan kemampuan memahami apa yang sedang dilihat menerusi kamera. Tubuh peranti melepasi piawai IP69 dan dilengkapi sistem speaker stereo.

Harga jualan adalah seperti di bawah
- Huawei Pura 80 Ultra (16/512GB) – RMB 9999 (~RM 5896)
- Huawei Pura 80 Ultra (16/1000GB) – RMB 10999 (~RM 6485)

