Lenovo memperkenalkan kamera digital kompak C55, yang direka khas untuk vlogger. Kamera ini dilengkapi dengan sensor 64MP bersaiz 1/3 inci serta julat ISO antara 100 hingga 6400. Ia mampu merakam video dalam resolusi 4K dengan zum digital sehingga 18X dan mempunyai penstabilan imej elektronik untukkualiti rakaman yang lebih stabil.

Kamera ini hadir dengan skrin LCD 2.8-inci di bahagian belakang bagi memudahkan rakaman imej dan video namun tidak menawarkan pemidang tilik elektronik (EVF). Keunikan tambahan terletak pada lampu berbentuk cincin di sekitar butang pengatup di bahagian hadapan untuk kemudahan tambahan ketika penggambaran. Selain itu, ia menyokong pelbagai mod rakaman seperti rakaman masa lalu, mod pecutan, rakaman berulang, gerakan perlahan dan banyak lagi.


Kamera ini menawarkan storan terbina sehingga 128GB, dengan sokongan kad mikroSD untuk tambahan ruang penyimpanan. Ia dilengkapi bateri berkapasiti 1300mAh yang membolehkan penggunaan sehingga 120 minit dalam mod fotografi dan 80 minit dalam mod video. Di China, model 64GB dijual pada harga CNY499 (~RM293), manakala versi 128GB ditawarkan pada CNY559 (~RM329).
Langkah Lenovo memperkenalkan kamera sendiri mungkin sesuatu yang menarik. Sama ada ia akan berjaya dalam segmen ini, atau sebaliknya masih belum dipastikan. Lebih-lebih lagi, ia mungkin hanya terhad kepada pasaran China semata.
