
TUMPAT: Pas menyanggah kenyataan Datuk Seri Rafizi Ramli yang mendakwa ahli Pas termasuk dalam 15 peratus bekas anggota parti lain menyertai Parti Bersama Malaysia (Bersama).
Naib Presidennya, Datuk Idris Ahmad berkata, ahli yang mahu keluar dari Pas perlu mengisi borang atau menghantar surat kepada kepemimpinan dan setakat ini belum ada ahli Pas yang berbuat demikian.
“Saya sebagai ahli dewan harian, kita bermesyuarat setiap minggu dan tidak dengar lagi ahli Pas keluar parti masuk parti Bersama.
“Ini kerana setiap ahli Pas yang mahu keluar parti perlu minta, perlu isi surat tetapi tidak ada lagi ahli Pas yang berbuat demikian setakat ini,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Jentera Pilihanraya Pas Kawasan Tumpat di Maahad Muhammadi Tumpat Kampung Sedar di sini, malam tadi.
Idris berkata, setakat ini seramai 4,000 keahlian baharu Pas telah diluluskan.
Terdahulu, Rafizi mendakwa kira-kira 60 peratus keahlian Bersama ketika ini terdiri daripada individu yang tidak pernah menyertai mana-mana parti politik sebelum ini.
Katanya, bekas ahli PKR pula membentuk kira-kira 25 peratus keahlian Bersama manakala 15 peratus lagi terdiri daripada bekas ahli parti-parti lain.
“Ahli daripada parti lain itu termasuk UMNO, Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Amanah Negara (Amanah) manakala bekas ahli DAP membentuk kurang daripada satu peratus,” katanya. – UTUSAN
The post ‘Tidak dengar ahli Pas masuk Bersama’ appeared first on Utusan Malaysia.






