Hubungan dengan Persekutuan penting pacu pembangunan Melaka

LocalPolitics
10 Nov 2026 • 9:07 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Hubungan dengan Persekutuan penting pacu pembangunan Melaka

MELAKA: Hubungan erat antara kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan penting bagi memastikan pembangunan Melaka dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan, selain memastikan suara rakyat terus dibawa ke peringkat pembuat dasar.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari berkata, kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka penting bagi memastikan kepentingan rakyat terus diperjuangkan, khususnya dalam aspek pembangunan, kebajikan dan penyelesaian masalah setempat.

Beliau yang juga calon PH di kerusi DUN Bukit Katil berkata, pengalaman PH mentadbir Melaka sebelum ini membolehkan pihaknya memahami potensi serta isu pembangunan yang perlu diberikan perhatian bagi memastikan Melaka terus maju.

“Ketika mentadbir Melaka, kita mempunyai hampir 56 inisiatif kerajaan negeri. Begitu juga di peringkat Persekutuan menerusi Kerajaan Madani, kita sudah membuktikan perkara paling asas yang diberikan perhatian ialah kebajikan rakyat.

“Pengalaman itu perlu dimanfaatkan dengan menggabungkan kepakaran calon PH daripada pelbagai latar belakang, termasuk generasi muda, bekas penjawat awam dan mereka yang mempunyai pengalaman dalam pentadbiran Persekutuan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

ADUN PH PENGHUBUNG SUARA RAKYAT

Mengulas peranan ADUN sebagai penghubung antara rakyat dengan kerajaan negeri dan Persekutuan, Adly berkata, kehadiran wakil PH dalam DUN Melaka mampu memperkukuh saluran komunikasi bagi memastikan isu serta keperluan rakyat dibawa ke peringkat lebih tinggi.

Katanya, PH mempunyai ramai ahli Parlimen di peringkat Persekutuan, sekali gus membuka ruang kepada ADUN untuk memanfaatkan hubungan berkenaan dalam menyampaikan suara rakyat Melaka kepada kementerian dan agensi berkaitan.

Menurutnya, hubungan antara wakil rakyat di peringkat negeri dengan ahli Parlimen boleh menjadi saluran tambahan bagi memastikan isu setempat mendapat perhatian Kerajaan Persekutuan, khususnya perkara yang memerlukan peruntukan serta tindakan kementerian.

“Apabila kita mempunyai ADUN di peringkat negeri dan ramai ahli Parlimen di peringkat Persekutuan, hubungan ini boleh dimanfaatkan untuk memastikan suara rakyat sampai kepada pihak yang mempunyai kuasa membuat keputusan.

“ADUN bukan sekadar membawa isu dalam DUN tetapi juga menjadi penghubung untuk memastikan keperluan rakyat di kawasan masing-masing mendapat perhatian Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pertahanan memberi contoh pengalamannya di Bukit Katil apabila membawa masuk projek Jiwa Murni daripada Kementerian Pertahanan bagi membina tandas sekolah serta membangunkan gelanggang futsal di Taman Bukit Katil dan beberapa taman perumahan lain.

“Di DUN saya, walaupun saya ADUN biasa, saya membawa projek Jiwa Murni daripada Kementerian Pertahanan. Sekarang ini, kita sedang membangunkan gelanggang futsal di Taman Bukit Katil dan beberapa taman lain.

“Ini menunjukkan ADUN yang mempunyai hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan boleh membawa lebih banyak pembangunan ke kawasan masing-masing,” katanya.

Selain pembangunan kemudahan awam, beliau berkata, hubungan antara kerajaan negeri dengan Persekutuan turut penting bagi menyelesaikan isu banjir dan kesesakan lalu lintas yang memberi kesan kepada penduduk.

Katanya, ketika PH mentadbir Melaka, Empangan Sungai Jernih diluluskan bagi membantu menangani masalah banjir, manakala Jabatan Kerja Raya (JKR) membangunkan Pusat Kawalan Trafik untuk mempertingkat pengurusan lalu lintas.

“Sebahagian sistem lampu isyarat diuruskan JKR dan sebab itu penyelesaian isu kesesakan memerlukan kerjasama kerajaan negeri serta Persekutuan. Kita perlu melihat masalah rakyat secara menyeluruh, bukan berdasarkan bidang kuasa satu pihak sahaja,” katanya.

Adly berkata, manifesto PH ‘Melaka Rumah Kita’ turut memberi keutamaan kepada konsep Bandar Pintar atau Smart City yang bukan sekadar melibatkan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), sebaliknya mendekatkan urusan pentadbiran dengan rakyat.

“Rakyat boleh menyemak permohonan bantuan melalui sistem atau aplikasi, mengetahui status permohonan dan sebab sesuatu permohonan ditolak. Inilah bentuk pentadbiran yang lebih telus dan mudah diakses,” katanya.

HUBUNGAN KERAJAAN NEGERI DAN PERSEKUTUAN

Mengulas hubungan kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan ketika ini, Adly berkata, prinsip keadilan Kerajaan Madani perlu memastikan semua negeri menerima perhatian tanpa mengira perbezaan politik.

“Baru-baru ini, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan RM250 juta kepada Kelantan. Kita tidak mendiskriminasi negeri berdasarkan parti yang mentadbirnya kerana apabila diberikan tanggungjawab, semua rakyat perlu disantuni.

“Kita perlu membezakan kempen pilihan raya dengan tanggungjawab sebagai kerajaan. Selepas menang, penyokong parti atau bukan penyokong, tanpa mengira kaum, semuanya rakyat yang perlu diberikan perhatian,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri dan Persekutuan masing-ma­sing mempunyai bidang tanggungjawab tersendiri tetapi keselarasan dasar serta hubungan baik antara kedua-duanya memberikan kelebihan dalam melaksanakan pembangunan.

Menurutnya, perbezaan dasar dan kelemahan pengurusan kewangan boleh menimbulkan prasangka, sedangkan banyak projek pembangunan memerlukan kelulusan agensi Persekutuan termasuk penilaian kesan alam sekitar, sosial dan kesihatan.

“Dalam konteks ini, kita perlu bergerak ke arah politik lebih matang. Pilihan raya adalah satu perkara, tetapi memacu negara ke hadapan merupakan tanggungjawab bersama.

“Perpaduan adalah perkara paling asas dalam sistem bernegara, termasuk di Melaka,” katanya.

PERUNTUKAN PERSEKUTUAN UNTUK PEMBANGUNAN MELAKA

Adly berkata, komitmen kerajaan Persekutuan terhadap Melaka dapat dilihat menerusi peruntukan bagi menangani masalah banjir termasuk projek tebatan banjir di Krubong, Alor Gajah, Masjid Tanah dan Jasin.

Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan hampir RM1.46 bilion bagi program berkaitan tebatan banjir untuk tahun ini, termasuk RM400 juta bagi projek di Masjid Tanah.

“Pembangunan mesti datang bersama kemudahan infrastruktur. Jika pembangunan dilaksanakan tetapi sistem saliran tidak diberikan perhatian, kesannya tetap ditanggung rakyat, khususnya apabila berlaku banjir,” katanya.

REFORMASI PENTADBIRAN PERCEPAT PROJEK

Mengulas usaha mengatasi kelewatan pelaksanaan projek, Adly berkata, pengalaman PH mentadbir Melaka sebelum ini menunjukkan proses birokrasi perlu ditambah baik bagi memastikan permohonan pembangunan tidak tertangguh terlalu lama.

Katanya, ketika PH mengambil alih pentadbiran negeri pada 2018, permohonan pembangunan di kawasan DUN perlu mendapatkan maklum balas ADUN tanpa had tempoh yang jelas sehingga ada yang mengambil masa sehingga tiga bulan.

“Ketika kita mentadbir, kita menetapkan tempoh 14 hari untuk ADUN memberikan maklum balas terhadap permohonan. Jika membantah, mereka perlu memberikan justifikasi dan tidak boleh membiarkan permohonan tergantung begitu sahaja.

“Kita juga memperkemas proses mendapatkan ulasan agensi dengan mengurangkan jumlah agensi yang perlu memberikan maklum balas daripada 13 kepada sekitar enam agensi yang benar-benar berkaitan dengan projek,” katanya.

Beliau berkata, pendigitalan proses permohonan serta penyaluran bantuan kebajikan terus ke akaun penerima antara langkah yang boleh mengurangkan kerenah birokrasi, mempercepat penyampaian perkhidmatan dan memudahkan urusan rakyat.

“Jika bantuan RM100 boleh terus dimasukkan ke akaun penerima, mengapa mereka perlu datang dari jauh untuk mengambilnya? Kita perlu memudahkan urusan rakyat dan mengurangkan kos pentadbiran,” katanya.-UTUSAN

The post Hubungan dengan Persekutuan penting pacu pembangunan Melaka appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved