Hubungan kerajaan Persekutuan dengan Sabah, Sarawak terus diperkukuh - PM

LocalPolitics
22 Aug 2026 • 10:41 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Hubungan kerajaan Persekutuan dengan Sabah, Sarawak terus diperkukuh - PM
Anwar ketika mengadakan pertemuan dengan Abang Johari dan Hajiji di Bandar Seri Begawan, Brunei pada Sabtu. Foto Pejabat Perdana Menteri

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan hubungan erat antara kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan beliau dengan kerajaan negeri Sarawak dan Sabah akan terus diperkukuh berteraskan semangat saling menghormati dan kepercayaan.

Menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu, Anwar memaklumkan perkara itu antara yang dibincangkan beliau bersama-sama Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor di Bandar Seri Begawan, Brunei, hari ini.

Abang Johari dan Hajiji antara pemimpin dalam delegasi Malaysia bagi Rundingan Tahunan Pemimpin Malaysia-Brunei Ke-27 (ALC-27).

Anwar berkata, antara perkara yang turut disentuh dalam pertemuan itu ialah persediaan menjelang Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dijadual berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah dalam tempoh beberapa minggu lagi.

"Kami turut bertukar pandangan terkait beberapa perkembangan mutakhir, selain memberi tumpuan kepada ikhtiar memperkukuh kerjasama antara kerajaan Persekutuan, Sarawak dan Sabah demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan yang lebih adil dan seimbang," kata beliau.

Pada ALC-27, Malaysia dan Brunei secara prinsip bersetuju untuk memudahkan akses pergerakan rakyat kedua-dua negara termasuk memperbaiki isu imigresen selain meminta jawatankuasa teknikal di peringkat Persekutuan dengan kerjasama Sarawak dan Sabah supaya mempercepat proses berkaitan rundingan berkenaan.

Anwar tiba di Bandar Seri Begawan semalam bagi lawatan kerja dua hari bersempena dengan penganjuran ALC-27. - Bernama

 

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved