
PETALING JAYA – Malaysia dan Brunei Darussalam memperbaharui kerjasama dalam pengurusan bencana menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) selepas pertemuan empat mata antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.
Anwar berkata, pembaharuan MoU berkenaan mencerminkan komitmen kedua-dua negara untuk meningkatkan kesiapsiagaan serta keupayaan bertindak balas dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana.
“Pembaharuan MoU ini juga mencerminkan tekad kedua-dua negara untuk terus memperkukuh kerjasama dalam pengurusan bencana, termasuk meningkatkan kesiapsiagaan serta keupayaan bertindak balas terhadap sebarang kemungkinan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Menurut beliau, kerjasama berkenaan bukan sahaja penting dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia serta Brunei, malah melengkapi usaha pengurusan bencana di peringkat ASEAN.
“Ikhtiar ini bukan sahaja penting dalam melindungi keselamatan dan kesejahteraan rakyat kedua-dua negara, malah melengkapi inisiatif di peringkat ASEAN dalam mendepani cabaran bencana yang semakin kompleks,” katanya.
Terdahulu, Anwar dan Sultan Hassanal Bolkiah mengadakan pertemuan sebelum menyaksikan pemeteraian MoU berkenaan sempena Rundingan Tahunan Pemimpin Malaysia-Brunei Darussalam Ke-27 (ALC-27).
Anwar tiba di Brunei semalam bagi lawatan kerja selama dua hari untuk menghadiri rundingan tahunan berkenaan yang menjadi platform kedua-dua negara membincangkan isu kepentingan bersama serta memperkukuh hubungan dua hala. – KOSMO! ONLINE
The post Malaysia-Brunei perkukuh kerjasama pengurusan bencana appeared first on Kosmo Digital.






