Malaysia-Brunei sepakat guna ASEAN tangani jerebu

LocalEnvironment
23 Aug 2026 • 6:50 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Malaysia-Brunei sepakat guna ASEAN tangani jerebu

BANDAR SERI BEGAWAN: Malaysia dan Brunei Darussalam sepakat memanfaatkan mekanisme ASEAN bagi menangani ancaman jerebu rentas sempadan yang berpotensi menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan rantau ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerjasama itu dilihat penting bagi memastikan isu jerebu rentas sempadan ditangani menerusi pendekatan serantau yang tersusun serta mengambil kira kepentingan negara terjejas.

Menurut beliau, perkara itu antara agenda dibincang bersama Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dalam Mesyuarat Rundingan Pemimpin Tahunan Ke-27 (ALC-27) di Istana Nurul Iman, semalam.

Katanya, kedua-dua negara akan menggunakan mekanisme terbaik yang tersedia di peringkat ASEAN bagi memastikan isu berkenaan ditangani secara lebih berkesan dengan kementerian berkaitan akan menyelaras tindakan susulan bagi memastikan kerjasama itu dicapai.

“Kita sudah hantar surat kepada Setiausaha Agung ASEAN dan menteri berkenaan akan menyelaraskan perkara ini,” katanya pada sidang akhbar selepas mengakhiri lawatan kerja dua hari ke Brunei semalam.

Terdahulu, Sultan Hassanal Bolkiah berkenaan mengurniakan Darjah Kerabat Laila Utama Yang Amat Dihormati (D.K.) yang membawa gelaran Dato Laila Utama kepada Anwar.

Dalam pada itu, Anwar berkata, Malaysia dan Brunei mencapai persefahaman awal untuk menyelesaikan perkara tertangguh kira-kira 60 tahun lalu termasuk isu pertindihan dan tuntutan sempadan antara kedua-dua negara.

Katanya, kedua-dua pihak bersetuju supaya tuntutan sempadan diselesaikan berdasarkan faktor sejarah, undang-undang dan kaedah penentuan sempadan yang dipersetujui.

Menurutnya, kira-kira 50 peratus daripada isu persempadanan darat antara kedua-dua negara telah diselesaikan manakala baki kawasan masih melibatkan pertindihan tuntutan.

“Kedua-dua pihak mencari kaedah supaya diberikan pengiktirafan kepada hak dan tuntutan Malaysia dan Brunei berdasarkan undang-undang dan juga persempadanan. Saya ingat isu yang terbantut sekian lama itu dapat dileraikan.

“Saya dengan Sultan Brunei merasakan sekurang-kurangnya parameter asas itu boleh diselesaikan sebelum akhir tahun,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata, Malaysia dan Brunei bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dalam pengurusan imigresen dan kastam bagi memudahkan pergerakan rakyat kedua-dua negara ekoran kini terlalu banyak pemeriksaan dan sekatan di sepanjang laluan antara sempadan negara.-UTUSAN

The post Malaysia-Brunei sepakat guna ASEAN tangani jerebu appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved