
PETALING JAYA – Lembah Klang bakal menjadi tumpuan pada hujung minggu ini apabila pelbagai acara besar dijadualkan berlangsung serentak pada 3 dan 4 Oktober ini.
Menerusi perkongsian pengguna, staysnessa di Threads, antara acara yang dijadualkan berlangsung ialah F1 Bahrain Grand Prix di Sepang, Fragrance Festival Malaysia 3.0 di Pavilion Bukit Jalil dan KLSCM Marathon di ibu negara.
Turut berlangsung Konsert Faizal Tahir di Unifi Arena Bukit Jalil, perlawanan bola sepak All Stars Legend di Stadium Nasional Bukit Jalil yang menampilkan legenda seperti Steven Gerrard serta Konsert Henry Lau di IDEA Live Arena.
“Selain itu, peringkat akhir Le Tour de Langkawi akan berlangsung di Putrajaya, manakala Petronas Cub Prix R6 pula diadakan di Karting Circuit,” katanya.
Dalam perkongsian sama, pemilik akaun tersebut turut menyenaraikan program pendaftaran pelajar baharu Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang dan National Graduate Career Fair di KLCC.
Bagi peminat seni serta sains dan teknologi, KL Seni & STEM Festival turut berlangsung di KLCC Esplanade, manakala Tokyo Auto Salon Malaysia di MAEPS, Serdang dijadualkan berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober bermula pada pukul 10 pagi hingga 10 malam.
Dengan pelbagai acara yang berlangsung dalam tempoh sama, orang ramai dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan, khususnya di laluan menuju Kuala Lumpur, Bukit Jalil, Serdang, Sepang dan Putrajaya. – KOSMO! ONLINE
The post Hujung minggu ‘paling sibuk’ di Lembah Klang appeared first on Kosmo Online.






