Human graphic 2026 tampil lebih ‘wow’, 1,500 murid terlibat, 16 lagu bakal dipersembah

24 Aug 2026 • 12:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Human graphic 2026 tampil lebih ‘wow’, 1,500 murid terlibat, 16 lagu bakal dipersembah

PUTRAJAYA: Persembahan ‘human graphic’ sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69 di Dataran Putrajaya, 31 Ogos ini bakal tampil dengan beberapa kelainan menerusi gabungan 16 lagu, penggunaan peralatan serta penglibatan 1,500 murid dari 36 buah sekolah.

Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Ithnin Mahadi berkata, kesemua mereka adalah murid sekolah di bawah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor.

“Latihan sudah bermula sejak Julai lalu dengan murid dikenal pasti dan berlatih secara berasingan di sekolah masing-masing sebelum digabungkan untuk menjalani latihan di tapak pada fasa akhir ini,” katanya ketika ditemui selepas meninjau persiapan human graphic di sini, hari ini.

Katanya, latihan kini memasuki fasa terakhir dengan beberapa sesi raptai termasuk raptai penuh membabitkan 16 lagu yang akan dipersembahkan termasuk lagu patriotik, lagu etnik, lagu kenegerian dan lagu Gen Z.

Ithnin berkata, jumlah peserta tahun ini berkurangan berbanding 2,000 murid yang terlibat pada tahun lalu, namun persembahan kali ini mempunyai tiga kelainan utama.

“Kelainannya ada tiga. Pertamanya dari segi genre lagu, ada 16 lagu yang menggabungkan lagu-lagu terkini yang dekat dengan Gen Z, lagu asli dan sebagainya.

“Keduanya, kita selitkan penggunaan peralatan dalam persembahan seperti kompang, tamborin, plotting Malaysia MADANI serta grafik etnik-etnik di Malaysia,” katanya.

Mengulas cabaran sepanjang latihan, Isnin berkata, aspek kebajikan murid termasuk penyediaan makanan, minuman dan pengangkutan menjadi antara perkara yang perlu diberi perhatian memandangkan program itu membabitkan 36 sekolah.

Katanya, latihan yang dilaksanakan sejak beberapa bulan lalu turut memerlukan pergerakan murid secara berperingkat dan melibatkan kos yang tinggi.

“Cabaran pertama tentulah untuk menggerakkan anak-anak ini. Kita pastikan kebajikan mereka dari segi makan minum dan pengangkutan.
Bukan kita laksanakan sehari dua, tetapi berbulan-bulan. Jadi pergerakan dan sebagainya melibatkan kos yang agak tinggi,” katannya.

Sementara itu, ketika mengulas persiapan menghadapi cuaca panas, beliau berkata, pihaknya mengambil langkah memastikan murid tidak terlalu lama terdedah kepada keadaan berkenaan.

“Untuk minggu-minggu sebelum ini mereka berada di dalam dewan, terutama ketika pentas masih belum siap. Jadi hanya dua tiga hari terakhir ini mereka menjalani latihan di tapak.
Kita mula seawal pagi untuk mengelakkan mereka terdedah kepada cuaca panas dan sekitar jam 11 pagi mereka akan berehat,” katanya.

Persembahan Human Graphic 2026 dibahagikan kepada lima bahagian utama, iaitu Preshow, Pergendangan, Kemuncak Rentak MADANI Paluan Tradisi, Lagu Tema dan Sokongan.

Persembahan human graphic itu dikendalikan Penolong Pengarah, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Rosmonaliza Ahmad dengan sokongan 23 orang jurulatih. – UTUSAN 

The post Human graphic 2026 tampil lebih ‘wow’, 1,500 murid terlibat, 16 lagu bakal dipersembah appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved