sarah24/11/2026 - 09:46 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 24 Nov - Hutang luar pesisir Kerajaan Persekutuan berjumlah RM23 bilion selepas penerbitan sukuk global pada Julai 2026, menjadikan baki ruang pinjaman kerajaan sebanyak RM12 bilion sebelum mencapai had RM35 bilion yang ditetapkan undang-undang.
Jumlah tersebut meningkat RM2.2 bilion atau kira-kira 10.6% berbanding RM20.8 bilion pada akhir Mac 2026, berdasarkan perbandingan angka yang diumumkan Kementerian Kewangan (MOF).
Ini bermakna jumlah hutang luar pesisir kerajaan telah mencapai kira-kira 65.7% daripada had pinjaman yang dibenarkan di bawah Akta Pinjaman Luar Negeri 1963.
Bagaimanapun, MOF dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat menjelaskan bahawa hutang luar pesisir itu hanya mewakili kira-kira 1.7% daripada keseluruhan hutang Kerajaan Persekutuan.
Kerajaan guna pembiayaan domestik untuk bayar hutang luar
Menurut MOF, dua siri sukuk global kerajaan yang matang pada 2025 dan April 2026 telah dibiayai menerusi penerbitan instrumen hutang domestik.
Langkah itu merupakan sebahagian daripada strategi kerajaan mengimbangi pinjaman dalam dan luar negara, selain mengehadkan risiko turun naik mata wang asing serta ketidaktentuan pasaran kewangan antarabangsa.
Kerajaan kembali ke pasaran sukuk berdaulat antarabangsa selepas lima tahun menerusi penerbitan dua siri sukuk global bernilai AS$1.5 bilion (kira-kira RM6.14 bilion) pada akhir Julai 2026.
Kedua-dua siri sukuk berkenaan mempunyai tempoh matang masing-masing 5.75 tahun dan 10 tahun dengan kadar keuntungan tahunan sebanyak 4.612% dan 4.949%.
Kesan bersih terhadap hutang kerajaan belum diperincikan
MOF berkata, penerbitan sukuk global tersebut turut menyediakan penanda aras pembiayaan kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat tempatan yang berhasrat mendapatkan dana daripada pasaran antarabangsa pada kadar lebih kompetitif.
Bagaimanapun, jawapan kementerian itu tidak memperincikan kesan bersih penerbitan sukuk berkenaan terhadap keseluruhan hutang Kerajaan Persekutuan, termasuk jumlah hutang sedia ada yang dibiayai semula menggunakan dana tersebut.
Berdasarkan laporan Tinjauan Fiskal 2027, pembayaran balik utama hutang luar pesisir kerajaan yang seterusnya dijadualkan pada 2029, dengan penyusunan tempoh pembayaran bertujuan mengelakkan komitmen hutang yang besar tertumpu pada satu-satu masa.
MOF berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Sabak Bernam, Kalam Salan mengenai manfaat penerbitan sukuk global kepada rakyat, kos pembiayaan yang ditanggung serta kesannya terhadap kedudukan hutang negara.- DagangNews.com






