Hutang luar pesisir kerajaan RM23 bilion, RM12 bilion di bawah had pinjaman ditetapkan - MOF

LocalBusiness & Finance
24 Nov 2026 • 9:46 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Hutang luar pesisir kerajaan RM23 bilion, RM12 bilion di bawah had pinjaman ditetapkan - MOF Image from: Hutang luar pesisir kerajaan RM23 bilion, RM12 bilion di bawah had pinjaman ditetapkan - MOF sarah24/11/2026 - 09:46 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 24 Nov - Hutang luar pesisir Kerajaan Persekutuan berjumlah RM23 bilion selepas penerbitan sukuk global pada Julai 2026, menjadikan baki ruang pinjaman kerajaan sebanyak RM12 bilion sebelum mencapai had RM35 bilion yang ditetapkan undang-undang.

 

Jumlah tersebut meningkat RM2.2 bilion atau kira-kira 10.6% berbanding RM20.8 bilion pada akhir Mac 2026, berdasarkan perbandingan angka yang diumumkan Kementerian Kewangan (MOF).

 

Ini bermakna jumlah hutang luar pesisir kerajaan telah mencapai kira-kira 65.7% daripada had pinjaman yang dibenarkan di bawah Akta Pinjaman Luar Negeri 1963.

 

Bagaimanapun, MOF dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat menjelaskan bahawa hutang luar pesisir itu hanya mewakili kira-kira 1.7% daripada keseluruhan hutang Kerajaan Persekutuan.

 

Kerajaan guna pembiayaan domestik untuk bayar hutang luar

Menurut MOF, dua siri sukuk global kerajaan yang matang pada 2025 dan April 2026 telah dibiayai menerusi penerbitan instrumen hutang domestik.

 

Langkah itu merupakan sebahagian daripada strategi kerajaan mengimbangi pinjaman dalam dan luar negara, selain mengehadkan risiko turun naik mata wang asing serta ketidaktentuan pasaran kewangan antarabangsa.

 

Kerajaan kembali ke pasaran sukuk berdaulat antarabangsa selepas lima tahun menerusi penerbitan dua siri sukuk global bernilai AS$1.5 bilion (kira-kira RM6.14 bilion) pada akhir Julai 2026.

 

Kedua-dua siri sukuk berkenaan mempunyai tempoh matang masing-masing 5.75 tahun dan 10 tahun dengan kadar keuntungan tahunan sebanyak 4.612% dan 4.949%.

 

Kesan bersih terhadap hutang kerajaan belum diperincikan

MOF berkata, penerbitan sukuk global tersebut turut menyediakan penanda aras pembiayaan kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat tempatan yang berhasrat mendapatkan dana daripada pasaran antarabangsa pada kadar lebih kompetitif.

 

Bagaimanapun, jawapan kementerian itu tidak memperincikan kesan bersih penerbitan sukuk berkenaan terhadap keseluruhan hutang Kerajaan Persekutuan, termasuk jumlah hutang sedia ada yang dibiayai semula menggunakan dana tersebut.

 

Berdasarkan laporan Tinjauan Fiskal 2027, pembayaran balik utama hutang luar pesisir kerajaan yang seterusnya dijadualkan pada 2029, dengan penyusunan tempoh pembayaran bertujuan mengelakkan komitmen hutang yang besar tertumpu pada satu-satu masa.

 

MOF berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Sabak Bernam, Kalam Salan mengenai manfaat penerbitan sukuk global kepada rakyat, kos pembiayaan yang ditanggung serta kesannya terhadap kedudukan hutang negara.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved