
KUALA LUMPUR - Seorang wanita bersama dua anak perempuannya ditemukan meninggal dunia di sebuah kediaman di Bandar Baru Tambun, Ipoh malam tadi.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah, berkata pihak polis menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira jam 9.10 malam.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati ketiga-tiga mangsa terdiri daripada seorang wanita berusia 46 tahun serta dua anak perempuannya yang masing-masing berumur 12 dan 11 tahun.
Mereka ditemui tidak sedarkan diri di sebuah bilik dalam rumah berkenaan.
“Pemeriksaan turut menemukan sebuah bekas dipercayai mengandungi arang di dalam bilik tersebut.
“Pemeriksaan awal oleh Pasukan Forensik Polis juga tidak menemukan sebarang kesan kecederaan atau unsur jenayah pada mayat mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).
Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian, dengan bedah siasat dijadualkan dijalankan hari ini bagi membantu melengkapkan siasatan.
Sehubungan itu, Muhammad Najib menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan sehingga siasatan selesai. - Getaran, 31 Julai 2026






