Sukma 2026: Sayyid raih emas 400m, sedia cabar Umar Osman

17 Aug 2026 • 4:39 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sukma 2026: Sayyid raih emas 400m, sedia cabar Umar Osman

SERDANG – Pelari berusia 19 tahun dari Pulau Pinang, Muhammad Sayyid Amin Roslan muncul pencabar baharu acara 400 meter (m) selepas mencipta kejutan meraih pingat emas pada Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026, sekali gus dilihat bersedia untuk ‘mengejar’ pemegang rekod kebangsaan, Umar Osman.

Pada aksi di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), Sayyid Amin yang beraksi buat pertama kali dalam acara 400m itu berjaya mencatat masa 47.20 saat (s) untuk mengungguli acara berkenaan sekali gus memperbaharui rekod peribadi terbaik 47.68s yang dicatat sebelum ini.

Sayyid turut mengatasi pelari Selangor, Muhammad Daniel Haqiem yang meraih perak dengan catatan 47.61s, manakala seorang lagi wakil Pulau Pinang, Muhammad Farhan Mohd Isrulnizam melengkapkan podium dengan masa 47.66s.

Lebih menarik, Sayyid sebelum ini yang meraih emas dalam acara 200m pada Sukma Sarawak 2024 terpaksa mengorbankan acara tersebut apabila bergelut dengan kecederaan hamstring pada kedua-dua kakinya kira-kira tiga bulan lalu memaksanya membuat perubahan dan memilih untuk beraksi dalam acara 400m di Selangor.

“Saya bukan tidak bersedia untuk bertanding dalam 200m, tetapi saya tahu perlumbaan mana yang lebih baik untuk saya buat masa ini dan saya memilih 400m. Saya menjalani beberapa latihan dan ia memberi saya keyakinan yang besar untuk mencuba 400m,” katanya sejurus tamat perlumbaan hari ini.

Image from: Sukma 2026: Sayyid raih emas 400m, sedia cabar Umar Osman
PELARI Pulau Pinang, Muhammad Sayyid Amin Roslan sedia menjadi pencabar acara 400 meter (m). -AMIR KHALID

Sayyid mengakui kejayaan itu di luar jangkaannya selepas dia baru kembali ke balapan untuk menjalani sesi latihan pertamanya minggu lalu susulan kecederaan berkenaan.

“Saya baru sahaja kembali ke balapan untuk sesi pertama minggu lepas dan keputusan ini sangat mengejutkan bagi saya. Ini adalah catatan peribadi terbaik baharu dan saya sangat gembira dengan pencapaian ini,” tambahnya.

Kini, Sayyid mahu menjadikan Umar sebagai pencetus motivasi untuk terus memperbaiki catatan masanya, dengan jaguh berkenaan memiliki catatan terbaik peribadi 45.73s.

“Bagi saya, persaingan dengan Umar adalah sesuatu yang sangat baik kerana dia sudah berlari dalam catatan 45 saat dan itu benar-benar memberi inspirasi kepada saya untuk mencabar diri dengan lebih jauh.

“Insya-Allah, suatu hari nanti saya mahu menjadi pelari kedua selepas Umar yang berjaya mencatat masa dalam lingkungan 45 saat,” katanya.

Sayyid bagaimanapun belum mahu melupakan acara 100m dan 200m, sambil memberi bayangan bahawa kejayaannya dalam 400m tidak bermakna dia akan meninggalkan acara pecut itu.

“Biarkan perlumbaan itu menjadi kejutan untuk semua orang,” katanya.

Sementara itu, Nor Malisya Mohd Ishak dari Johor mengungguli saingan 400m wanita setelah menamatkan larian dengan catatan masa 55.93s menewaskan pencabarnya Nor Aliya Najihah Muda dari Terengganu di tempat kedua (56.76s) manakala gangsa diraih oleh Ormilla Octavia Codday Nyadau (57.03s). -KOSMO! ONLINE

The post Sukma 2026: Sayyid raih emas 400m, sedia cabar Umar Osman appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved