Ibu Kongsi Anak Nyaris Hilang Nyawa Gara-gara Belon Tersangkut Dalam Saluran Penafasan

Family & ParentingLifestyle
23 May 2025 • 1:07 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Belon merupakan salah satu permainan atau hiasan yang sering digunakan oleh orang ramai untuk sesuatu acara.

Malah ia juga sering menarik minat kanak-kanak kerana bentuk, warna dan jisim yang ringan hingga membolehkan ia terbang ke udara.

Bukan hanya itu, belon juga sering digunakan oleh orang ramai sebagai hadiah atau perhiasan apabila membuat sambutan seperti ulang tahun kelahiran dan sebagainya.

Belon hampir ragut nyawa kanak-kanak

Terbaharu, seorang ibu yang dikenali sebagai Nurul Huda Zulkhairi berkongsi detik cemas apabila hampir kehilangan anak disebabkan sebiji belon yang belum ditiup.

Menerusi hantaran yang dikongsikan oleh Nurul Huda di Facebook, pada 20 Mei lalu dia telah meraikan hari jadi anak lelakinya. Malah majlis tersebut turut diraikan dengan kehadiran rakan, guru dan juga keluarga.

“Anakanda saya sangat gembira masa ni sebab kawan baik dia dari zaman tadika masa kita orang duduk di Bertam, Pulau Pinang pun hadir. Mama dan baba buat semua ni untuk gembirakan awak, sayang mama,” jelasnya.

Menurutnya sebelum insiden berlaku anaknya kelihatan gembira bermain dan mereka juga sibuk melayan tetamu sepanjang majlis berlangsung.

Adik ipar berlari bawa anak sudah biru dan jantung berhenti

Namun majlis yang tenang bertukar cemas apabila adik ipar kepada Nurul Huda memaklumkan anaknya yang dikenali sebagai Uwais dilihat seperti mengalami kesukaran bernafas.

“Sebelum kejadian, adik ipar saya (Zahidah) ada maklumkan dekat abangnya (suami Nurul Huda) ‘Uwais macam semput tu’. Suami saya pun cakap sekejap nak ambil pam gas yang memang kita sediakan sejak dulu kerana Uwais selalu kena serangan asma.

“Tiba-tiba keadaan kembali tegang apabila adik ipar saya (Nabil) berlari bawa anak saya dekat suami saya dengan keadaan anak saya biru ketika itu. Jantung dah berhenti.

“Suami dan kawannya buat beberapa prosedur. Mereka ingat anak saya mungkin tersedak makanan. Namun setelah cuba CPR (teknik pertolongan cemas) dan gunakan satu teknik (tak ingat nama) untuk keluarkan makanan masih lagi gagal,” jelasnya.

Segera ke hospital, doktor nampak belon dalam saluran pernafasan ketika ingin buat intubasi

Suami Nurul Huda lalu dengan segera mengajak rakannya untuk ke hospital dan memaklumkan peluang untuk anaknya sedar hanya 50% disebabkan jantung sudah berhenti selain wajah menjadi biru.

Ketika dalam perjalanan rakan kepada suami yang dikenali sebagai Dr Rafiq turut memberikan arahan kepada bapa kanak-kanak itu perkara yang perlu dilakukan.

“Masa ni suami saya dah blur (keliru) nak kena buat apa. Anaknya terkulai kaku kebiruan atas riba ayahnya. Ayahnya terus buat CPR untuk bagi darah mengalir juga ke seluruh badan. Dengan harapan darah terus mengalir hingga ke otak. Pilihan akhir ayahnya terpaksa blowing (pernafasan mulut ke mulut) anaknya sendiri untuk bagi bantuan penafasan.

“Bila sampai hospital semua doktor dan jururawat bertungkus-lumus untuk selamatkan anak saya. Ketika mereka ingin melakukan proses intubate, mereka nampak ada belon di dalam saluran pernafasan anak saya.

“Doktor cepat-cepat keluarkan belon tersebut dan terus lakukan CPR, alhamdulillah nyawa anak saya Allah pulangkan kembali.”

Nurul Huda turut berterima kasih kepada semua pengamal perubatan di Bahagian Kecemasan Hospital Kulim dan Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Sultanah Bahiyah yang segera mengendalikan kes dan teliti merawat anaknya.

Kongsi kisah untuk jadi pengajaran pada semua supaya berhati-hati

Menurutnya perkara itu berlaku dengan cepat, dan katanya Uwais awalnya bergurau dengan kawan baik dengan memasukkan belon ke dalam mulut sambil berlari-lari di mungkiri tersedak lalu tercekik.

Katanya dia berkongsi kisah mencemaskan itu untuk memberi peringatan kepada ibu bapa untuk sentiasa berhati-hati dan mengawasi anak mereka.

“Perkara kecil yang kita anggap remeh seperti sebiji belon, boleh menjadi punca musibah besar jika tidak diawasi. Jangan ambil mudah, kerana saya sendiri hampir kehilangan anak saya.

“Doakan Uwais terus kuat. Doakan dia kembali pulih sepenuhnya, dan terima kasih kepada semua yang tak henti-henti menghulurkan doa dan sokongan.

“Kerana sebiji belon, saya hampir kehilangan anak. Tetapi kerana kasih sayang, doa dan harapan. Mama percaya Uwais akan kembali tersenyum seperti dulu. Mama tunggu abang tau. Terima kasih Allah kerana masih meminjamkan Uwais buat saya,” kata si ibu.

Dalam satu lagi hantaran, Nurul Huda turut memaklumkan keadaan anaknya kini masih lagi memerlukan bantuan pernafasan serta direhatkan.

“Doktor cakap HB (Hemoglobin) 7.9, jadi tambah darah dua beg. Paru-paru ada kesan pendarahan sikit mungkin kesan CPR. Buat masa sekarang tekanan darah, nadi, oksigen semua okay dan stabil. Masih dalam fasa rehatkan otak.”

Perkongsian Nurul Huda itu, kemudiannya mendapat perhatian ramai yang mendoakan agar Uwais segera sembuh dan urusan kedua ibu bapanya dipermudahkan.

Tidak kurang juga ada yang berkongsi pengalaman mereka yang juga pernah berdepan detik cemas seperti Nurul Huda.

“Uwais kuat sayang. Ramai doakan Uwais dan tunggu Uwais bangun”

image is not available

“Cikgu pun pernah berada di keadaan Huda. Mengalir air mata cikgu, yang cikgu rasa dari kecuaian cikgu. Sebabnya masa tu anak cikgu baru 2 bulan . Cikgu sampai anxiety kalau dengar kes-kes tinggal anak dalam kereta. Anak lemas, anak jatuh, semua berkaitan anak..”

image is not available

“Terasa mati hidup kembali jiwa seorang ibu melalui detik cemas sebegini. Semoga Uwais membesar sebagai anak soleh ya”

image is not available