
PONTIAN – Tragedi meragut nyawa tiga orang anak sekali gus dalam kemalangan Khamis lalu meninggalkan kesan mendalam kepada Julaiha Munaji, 43, sehingga dia mengakui sukar melelapkan mata kerana masih terbayang wajah anak-anaknya.
Menurutnya, dia masih sukar menerima hakikat kehilangan tiga anaknya iaitu Nur Daniel Aiman Norlizan, 18; Nur Daniel Fikri, 11; dan Puteri Naufa Raisha, 8, dalam kemalangan membabitkan motosikal dan lori di Jalan Parit Haji Siraj, Kayu Ara Pasong, di sini.
Lebih memilukan katanya, kemalangan itu berlaku kira-kira 200 meter dari kediaman mereka di Kampung Parit Haji Siraj.
Menurut Julaiha, kehilangan tiga daripada enam anaknya dalam sekelip mata merupakan dugaan paling berat yang terpaksa dihadapinya sebagai seorang ibu.
Katanya, setiap sudut di sekitar rumah mengingatkannya kepada kenangan bersama anak-anak yang telah pergi buat selama-lamanya.
“Fikri selalu bermain basikal di depan rumah dengan kawan-kawannya. Bila keluar rumah, saya terbayang Fikri.
“Aiman pula sangat rajin dan selalu menghantar adik-adiknya ke sekolah. Dia banyak membantu selepas saya ditimpa kemalangan sehingga patah tangan kiri,” katanya.
Tambahnya, Puteri Naufa Raisha yang merupakan satu-satunya anak perempuan dan anak bongsunya juga sangat rapat dengannya, sekali gus menjadikan kehilangan itu amat dirasai.
Bagi Julaiha dan suaminya, Norlizan Khamis, 42, pemergian tiga anak mereka bukan sahaja meninggalkan kesunyian di rumah, malah kenangan bersama mereka akan terus terpahat dalam ingatan.
Dalam pada itu, Julaiha berkata, rumah mereka kini tidak putus-putus dikunjungi saudara-mara, penduduk setempat, rakan sekelas arwah anak-anaknya serta orang ramai yang datang untuk memberikan sokongan di atas kesedihan mereka.
Katanya, kehadiran mereka sedikit sebanyak memberikan kekuatan kepadanya dan suami untuk menghadapi kehilangan yang amat menyakitkan itu.
Pada Jumaat lalu Kosmo! melaporkan, seorang ibu terpaksa menelan realiti pahit apabila kehilangan tiga anak berusia 18, 11 dan lapan tahun dalam kemalangan membabitkan motosikal dan lori di Jalan Kampung Parit Haji Siraj, Kayu Ara Pasong, di sini.
Lebih menyedihkan, sebelum kejadian pukul 7.20 pagi itu, Julaiha melarang dua anaknya kerana sekolah ditutup ekoran masalah jerebu, namun mereka tetap berkeras mahu ke sekolah.
Menurut Julaiha, sebelum bertolak, dua anaknya sempat menyiapkan kerja rumah walaupun sudah dimaklumkan sekolah tidak dibuka pada hari berkenaan.
The post Ibu masih terbayang wajah tiga anak bertembung lori appeared first on Kosmo Online.






