KUALA SELANGOR - [DIKEMAS KINI] Seorang ibu dan dua anaknya maut manakala seorang lagi anak cedera parah selepas kereta dinaiki empat beranak itu terlibat kemalangan dengan sebuah lori 20 tan di Jalan Raja Muda Musa, di sini pada Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.37 tengah hari itu, wanita berusia 44 tahun yang juga ibu kepada tiga mangsa kanak-kanak meninggal dunia di lokasi kejadian.
Identiti mangsa maut disahkan Norawalysa Mat Talpi, 44, serta dua anaknya, Auni Syazana Suhaimi, 12, dan Ahmad Syah Fawwaz Suhaimi, lapan tahun.
Manakala seorang lagi anak yang cedera ialah Ahmad Syah Fitri, 10, yang sedang mendapatkan rawatan di hospital.
**media[3671884]**
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, dua anaknya iaitu remaja perempuan berusia 12 tahun dan kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun maut di lokasi kejadian.
"Seorang lagi anaknya lelaki berusia 10 tahun cedera di kepala dan berjaya dikeluarkan orang awam sebelum pihak bomba tiba," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
**media[3671883]**
Ashrul Riezal berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.37 tengah hari berhubung kemalangan membabitkan sebuah Proton Exora dan lori dengan muatan 20 tan.
Menurutnya, sepasukan empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjong Karang dikejarkan ke lokasi kejadian.
**media[3671915]**
"Empat mangsa dilaporkan tersepit dalam kenderaan dan anggota bomba menjalankan kerja mengeluarkan mangsa.
"Tiga beranak disahkan meninggal dunia oleh pasukan ambulans di lokasi kejadian, manakala seorang daripada mereka cedera," jelas beliau.
Difahamkan Norawalysa adalah guru Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan (SK) Bestari Jaya.
Ketika kejadian kesemua mangsa dalam perjalanan dari sekolah ke rumah mereka di Kampung Parit Serong.






