
PETALING JAYA: Akibat terlalu lama menunggu, ibu pelakon kanak-kanak Mikael Noah, Salzelin mengambil keputusan menarik balik laporan polis berhubung kes gangguan seksual yang diterima anaknya dari seorang penyanyi irama Malaysia sekitar tahun lalu.
Menurut Salzelin, tindakan itu diambil selepas dimaklumkan tiada perkembangan mengenainya selepas aduan dilakukan sejak sembilan bulan lalu.
“Saya dah tarik (laporan polis). Selepas sembilan bulan, tiada sebarang perkembangan.
“Saya pula hadapi kekangan masa, sukar untuk saya berulang alik kerana anak-anak bersekolah.
“Jadi selepas berbincang dengan suami, kami mengambil keputusan untuk menarik balik kes,” katanya.
Salzelin berkata demikian selepas pelancaran filem Terbang di carfe, Petaling Jaya baru-baru ini.
Julai lalu, Salzelin, dengan bantuan penyanyi dan pempengaruh, Caprice mendedahkan salah laku seksual membabitkan individu beruniform terbabit selain berkongsi perbualan WhatsApp antara kedua pihak.
Bagaimanapun, Salzelin yang mengadukan perkara itu kepada pihak berwajib, menarik balik laporan gara-gara tiada perkembangan mengenai kes tersebut.
“Saya telah menyerahkan telefon bimbit anak saya, berserta kata laluannya untuk siasatan namun pihak berwajib memaklumkan mereka masih tidak dapat mengakses telefon tersebut,” ujarnya.
Salzelin memaklumkan sekurang-kurangnya kes tersebut menjadi tular justeru ibu bapa dapat berwaspada dengan pelaku.
“Mikael tidak lagi diganggu. Apa pun saya bersyukur kerana sekurang-kurangnya masyarakat sudah mengetahui siapa pelaku justeru boleh berwaspada terhadap individu berkenaan,” kongsinya.
Dalam pada itu, Salzelin memaklumkan segera membawa Mikael berjumpa pakar psikiatri kanak-kanak bagi mengelakkan sebarang impak negatif terhadap anaknya itu.
“Setakat ini keadaannya terkawal, tidak trauma. Apa pun saya tidak akan percaya orang lain untuk mengendalikan anak saya dan saya akan lebih berhati-hati, lebih kerap semak telefon bimbit dia.
“Kalau keluar daerah, saya tak benarkan dia berada di bawah jagaan mana-mana lelaki. Dia pun masih belum baligh lagi,” kongsinya. – UTUSAN
The post Ibu Mikael Noah tarik kes ‘sexual grooming’, dakwa tiada perkembangan selepas sembilan bulan appeared first on Utusan Malaysia.





