Selepas tiga tahun siasatan, kematian bayi 18 bulan disyaki dibunuh bapa

28 Jul 2026 • 2:53 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Selepas tiga tahun siasatan, kematian bayi 18 bulan disyaki dibunuh bapa
Ab Rahaman (tengah) pada sidang akhbar di IPK Johor pada Rabu.

JOHOR BAHRU - Selepas hampir tiga tahun siasatan dijalankan, polis akhirnya mengklasifikasikan semula kes kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia 18 bulan sebagai kes bunuh membabitkan bapa kandung mangsa sebagai suspek utama.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, laporan awal berkenaan kes terbabit diterima daripada seorang doktor yang bertugas di Jabatan Kecemasan Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru pada 13 September 2023.

Menurutnya, mangsa dibawa ke hospital oleh bapanya berusia 40 tahun dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Pemeriksaan mendapati terdapat kesan lebam di bahagian pinggang, perut menggelembung serta bengkak pada bahagian dubur.

"Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 10.40 pagi pada hari yang sama.

"Pada peringkat awal, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana disyaki berlaku pengabaian sehingga menyebabkan kematian," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada Selasa.

Beliau berkata, penemuan terbaharu kes itu tidak menolak kemungkinan mangsa diliwat oleh bapa kandungnya namun perkara itu masih dalam siasatan.

Dalam pada itu, Ab Rahaman sepanjang siasatan, polis memanggil 13 individu termasuk ahli keluarga terdekat dan keluarga pengasuh mangsa bagi membantu siasatan selain mengambil sampel darah untuk ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Bagaimanapun, ujarnya, ujian itu gagal mengenal pasti suspek kerana kesan cecair dipercayai air mani yang ditemui pada bahagian dubur mangsa tidak dapat dianalisa.

"Siasatan diteruskan sehingga membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan berusia 40 dan 35 tahun pada 18 serta 22 Julai lalu.

"Kedua-dua suspek merupakan bapa kandung dan bapa saudara mangsa berusia 35 tahun," katanya.

Menurut beliau, semakan mendapati bapa kandung mangsa yang bekerja sebagai buruh di Singapura tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

"Manakala bapa saudara memiliki 13 rekod jenayah dan dadah serta didapati positif ganja melalui ujian saringan air kencing.

"Polis turut merampas dua telefon bimbit milik kedua-dua suspek bagi membantu siasatan," katanya lagi.

Susulan perkembangan itu, kes diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Hasil pemeriksaan terhadap telefon bimbit milik bapa kandung mangsa turut menemukan gambar dan video lucah.

"Sehubungan itu, bapa kandung mangsa akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana memiliki bahan lucah.

"Bapa saudara mangsa pula akan dibebaskan serta dijadikan saksi pendakwaan," katanya.

Tambah beliau, tertuduh akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Rabu bagi pertuduhan berkenaan.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang spekulasi atau maklumat tidak tepat berhubung kes berkenaan kerana boleh menjejaskan proses pendakwaan di mahkamah.

"Pihak polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang menyebarkan berita palsu atau melanggar undang-undang yang sedang berkuat kuasa," katanya.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved