Kurang didikan agama, ibu bapa dalam penjara punca kes pengabaian kanak-kanak

LocalFamily & Parenting
2 Aug 2026 • 4:37 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kurang didikan agama, ibu bapa dalam penjara punca kes pengabaian kanak-kanak

KOTA BHARU: Polis Kelantan mendedahkan kedua ibu bapa meringkuk dalam penjara merupakan antara salah satu punca pengabaian dan masalah sosial dalam kalangan kanak-kanak di negeri ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, kebiasaan bapa dijel selepas didapati bersalah kes dadah, jenayah seksual dan sebagainya.

Katanya, siasatan mendapati, kanak-kanak yang hidup sendirian dan mempunyai masalah keluarga merupakan antara golongan yang sering diabaikan.

“Apabila ada masalah keluarga, pasti anak-anak akan terabai dan kita sedang mencari punca lain yang menyebabkan pengabaian golongan tersebut.

“Selain itu, kurang didikan agama di rumah juga merupakan antara punca pengabaian kanak-kanak yang dikenal pasti. Ada sesetengah kanak-kanak, mengucap dua kalimah syahadah pun tidak pandai,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Permuafakatan Polis Diraja Malaysia Bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan di JPN Kelantan, Tunjong di sini hari ini.

Mohd. Yusoff memberitahu, mesyuarat bersama JPN dijalankan dalam usaha untuk memperkasakan Jawatankuasa Penyelaras Perlindungan Kanak-Kanak bagi mengenal pasti punca pengabaian kanak-kanak di peringkat akar umbi,” ujarnya.

Katanya, apabila sudah dikenal pasti di peringkat awal, pihak sekolah akan terus melaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara untuk mengambil tindakan pemulihan kepada ibu bapa atau penjaga.

“Jika ia melibatkan masalah kewangan, pihak tertentu akan menyalurkan bantuan kepada keluarga agar segala permasalahan melibatkan pengabaian kanak-kanak dapat dibendung bermula peringkat awal.

“Ada kajian yang mendedahkan bahawa kanak-kanak yang terlibat isu sosial datang daripada keluarga B40. Jadi, perlu langkah intervensi peringkat awal untuk mengelakkan masalah itu menjadi lebih besar,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Mohd. Yusoff berkata, ibu bapa atau penjaga yang mengabaikan kanak-kanak boleh disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang menggariskan kesalahan melibatkan penganiayaan, pengabaian dan pembuangan atau pendedahan kanak-kanak.

Katanya, jika anak-anak terlibat dalam aktiviti berbahaya seperti berlumba motosikal, ibu bapa itu boleh dikategorikan sebagai cuai dan boleh didakwa mengikut seksyen tersebut.

“Apabila ibu bapa atau penjaga didapati bersalah di bawah seksyen itu, hukumannya berat iaitu penjara sehingga 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya. Timbul pula isu, siapa yang akan menjaga anak-anak itu,” katanya.-UTUSAN

The post Kurang didikan agama, ibu bapa dalam penjara punca kes pengabaian kanak-kanak appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved