
PETALING JAYA – Ibu kepada salah seorang pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Alor Gajah, Melaka yang dilaporkan hilang enggan mengulas lanjut berhubung kejadian kehilangan anak perempuannya.
Beliau ketika ditanya mengenai apa yang berlaku dan kronologi kejadian hanya memohon maaf kerana tidak dapat memberikan maklumat lanjut.
“Maaf, tak boleh,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, hari ini.
Bagaimanapun, beliau sebelum ini meluahkan rasa syukur selepas kedua-dua pelajar berusia 16 tahun termasuk anaknya itu ditemukan dalam keadaan selamat, kira-kira pukul 10 malam tadi.
“Alhamdulillah, anak-anak dapat dalam keadaan yang selamat. Jumpa pukul 10 lebih malam tadi di Kuala Lumpur. Syukur,” katanya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan keselamatan kedua-dua pelajar berkenaan.
“Terima kasih atas doa. Semoga Allah membalas dengan kebaikan,” katanya.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, dua pelajar MRSM Alor Gajah, Melaka yang hilang sejak Selasa lalu berjaya ditemui di ibu negara, malam tadi.
Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berhubung penemuan dua remaja tersebut oleh pihak polis Bukit Aman. – KOSMO! ONLINE
The post Ibu pelajar MRSM pilih berdiam diri, serah siasatan polis appeared first on Kosmo Digital.






