
PETALING JAYA: Prosedur operasi standard (SOP) membawa pelajar ke klinik perlu disemak semula bagi mengelakkan kejadian dua pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Alor Gajah ‘hilang’ selama empat hari berulang.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau telah meminta pengurusan Mara mengambil tindakan berhubung perkara itu.
“Apa pun faktor yang mendorong dua pelajar MRSM Alor Gajah ‘hilang’ empat hari, saya telah minta pengurusan Mara untuk semak SOP bawa pelajar ke klinik agar tiada lagi insiden serupa berulang masa akan datang. Siasatan penuh mesti dibuat,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.
Terdahulu, media melaporkan siasatan lanjut masih dijalankan polis bagi mengenal pasti punca kehilangan dua pelajar Tingkatan Empat MRSM Alor Gajah ditemuk semula di kawasan Central Market, semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kedua-dua pelajar berusia 16 tahun itu ditemukan pihak polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah kira-kira pukul 10.30 malam.
“Kedua-dua pelajar berkenaan sebelum itu dilaporkan kurang sihat dan mendapatkan rawatan di sebuah Klinik Kesihatan berhampiran.
“Selepas ditemui, kedua-duanya dibawa untuk menjalani pemeriksaan kesihatan lanjut di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum diserahkan kembali kepada pihak keluarga,” katanya.
Pada 11 Ogos lalu, laporan berhubung kehilangan kedua-dua remaja itu dibuat pada pada pukul 10.46 malam
Laporan berkenaan dibuat di Balai Polis Rumbia dan remaja pertama dikenali sebagai Siti Nur Aaira yang beralamat di Bandar Bukit Mahkota, Kajang.
Seorang lagi remaja ialah Nur Aisy Humaira beralamat di Bukit Sentosa, Rawang, Selangor. – UTUSAN
The post SOP bawa pelajar MRSM ke klinik perlu disemak semula – Asyraf Wajdi appeared first on Utusan Malaysia.






