
PETALING JAYA – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengarahkan pengurusan agensi itu menyemak semula prosedur operasi standard (SOP) membawa pelajar ke klinik.
Arahan itu dikeluarkan beliau susulan insiden dua pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Alor Gajah yang dilaporkan hilang selama empat hari selepas mendapatkan rawatan di sebuah klinik, sebelum ditemui selamat di Pasar Seni, Kuala Lumpur malam tadi.
Asyraf berkata, semakan itu perlu dilakukan bagi memastikan insiden sama tidak berulang pada masa akan datang, tanpa mengira faktor yang mendorong kejadian tersebut.
“Apapun faktor yang mendorong dua pelajar MRSM Alor Gajah ‘hilang’ empat hari, saya telah minta pengurusan Mara untuk semak SOP bawa pelajar ke klinik agar tiada lagi insiden serupa berulang masa akan datang.
“Siasatan penuh mesti dibuat,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus dilaporkan berkata, punca dan keadaan berkaitan kejadian dua pelajar perempuan MRSM Alor Gajah terbabit masih dalam siasatan pihak polis.
Katanya, kedua-dua pelajar berusia 16 tahun itu berjaya ditemui oleh pihak polis di kawasan Central Market, Kuala Lumpur kira-kira pukul 10.30 malam tadi.
Beliau menjelaskan, selepas ditemui, kedua-dua pelajar berkenaan dibawa untuk menjalani pemeriksaan kesihatan lanjut di Hospital Kuala Lumpur sebelum diserahkan kembali kepada pihak keluarga. – KOSMO! ONLINE
The post Pelajar MRSM hilang: Asyraf Wajdi arah Mara semak SOP ke klinik appeared first on Kosmo Digital.






