Ibu tunggal dipenjara 10 bulan, hina institusi diraja

LocalPolitics
12 Aug 2026 • 1:52 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Ibu tunggal dipenjara 10 bulan, hina institusi diraja

JOHOR BAHRU: Seorang pereka grafik wanita dihukum penjara 10 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan membuat hantaran palsu dan jelik melampau di media sosial pada Mac lalu.

Hakim N. Kanageswari menjatuhkan hukuman terhadap Nurul Huda Mohd. Bajuri, 49, selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Hukuman itu berjalan serentak bermula dari tarikh tangkapan pada 31 Mac lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang juga pemilik akaun TikTok Ratu Nur Putri Ratu Balqis didakwa memuat naik hantaran dengan dakwaan bahawa dirinya merupakan guru kepada Ketua Negara Malaysia ke-17, Sultan Ibrahim Ismail Ibni Sultan Mahmud Iskandar, termasuk para sultan di Malaysia.

Hantaran itu didakwa dibuat secara sedar dengan niat mendatangkan gangguan kepada mana-mana orang dan dibaca oleh pengadu kira-kira pukul 4 petang, 27 Mac lalu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memuat naik hantaran di akaun Instagram sama yang mengandungi kata-kata jelik melampau terhadap sultan di Malaysia dan Brunei serta menyentuh isu nama Darussalam.

Hantaran berkenaan turut didakwa dibaca pengadu pada hari dan waktu yang sama.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda sehingga RM500,000 atau dipenjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, selain denda RM5,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas sabitan.

Sebelum hukuman dijatuhkan, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Mu’adz Zulkarnain memohon jaminan minimum terhadap anak guamnya yang tidak mempunyai pendapatan tetap.

Beliau berkata, Nurul Huda merupakan ibu tunggal yang mempunyai seorang anak sebagai tanggungan selain menunjukkan keinsafan apabila bersetuju menukar pengakuan sebelum ini.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Fatihah Mohd. Nizam memohon hukuman setimpal kerana perbuatan tertuduh menyentuh institusi diraja dengan memuat naik hantaran jelik dan menghina Sultan yang boleh mencetuskan provokasi.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan bagi setiap pertuduhan dan kedua-duanya berjalan serentak bermula dari tarikh tangkapan. –UTUSAN

The post Ibu tunggal dipenjara 10 bulan, hina institusi diraja appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved